Jangan gadai Islam demi kepentingan pemaju

- Advertisement -
BAYAN BARU: Kerajaan DAP Pulau Pinang mesti kembali kepada perjanjian asal bersama pihak Masjid Nibong Tebal Besar (MSNB) dalam menyelesaikan isu projek Aliran Transit Ringan (LRT) Bayan Lepas.
 
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, projek yang bakal dibangunkan Konsortium SRS itu tidak akan berbangkit masalah sekiranya pihak terlibat berpegang kepada perjanjian asal.
 
“Kami gesa Kerajaan Pulau Pinang agar mereka owner kepada perjanjian asal, jangan menipu perjanjian sepertimana mereka menipu manifesto,” bidasnya ketika ditemui di Musolla Taman Sri Nibong, di sini semalam.
 
Beliau merumuskan demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Pengerusi MSNB, Prof Dato’ Dr Ir Mahyuddin Ramli dan Setiusaha serta Bendahari MSNB, Ahmad Md Dali dan Mohamad Noor Kamaruddin.
 
Turut sama Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden yang juga mantan Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dan Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim serta Exco Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Zikri Ismail.
 
Tegas Ir Khairil, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah memutuskan ketetapan berlandaskan perancangan asal iaitu jajaran LRT tidak mengganggu masjid hingga membenarkan ia dirobohkan.
 
Namun kesalinya, perubahan jajaran yang dikemukakan setelah masjid dirobohkan menjadi punca berbangkitnya isu dan bantahan kerana dilihat wujud campur tangan pihak tertentu secara berkepentingan.
 
“Asasnya, perancangan asal telah dipersetujui Jawatankuasa Kariah MSNB, JKR, pemaju, hingga kerajaan negeri dan Fatwa. Jadi kenapa boleh berlaku perubahan setelah masjid dirobohkan? Oleh itu kami gesa kembali kepada perjanjian asal.
 
“Perjanjian asal tidak mengganggu pihak Kariah dan tanah wakaf. Adapun konsep istibdal, kita mengambil pendekatan, kalau berlaku kesukaran yang teramat, barulah kita setuju istibdal. Dalam keadaan sekarang, pelan asal amat sesuai.
 
“Jadi kenapa bila dilihat jalan pintas untuk mendapat keuntungan lebih, maka digunakan istibdal bagi mengalih tanah wakaf?” persoal jurutera muda itu menggesa masalah dirungkaikan. 
 
Bahkan menurutnya, pelan jajaran baru itu juga akan menyebabkan gangguan atas penduduk terutama tiga blok apartmen di situ, termasuk kesulitan pada jalan keluar masuk bomba yang boleh melewatkan bantuan kecemasan.
 
Tegas Ir Khairil, Pemuda PAS Malaysia dan Pemuda PAS Pulau Pinang menyatakan solidariti bersama penduduk, ahli kariah, jawatankuasa serta NGO dan NGI yang memperjuang dan mempertahankan hak MSNB.
 
Beliau menyatakan komitmen pihaknya untuk bersama semua pihak tersebut memastikan tidak berlakunya pengambilan tanah wakaf dan pelanggaran perjanjian dari asal yang telah dipersetujui.
 
Hadir sama Ahli Jawatankuasa Kariah MSNB, Ahmad Che Din, Ustaz Romzi Abu Bakar dan Asiah Idris serta Ahli Perhubungan PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan Yusoff dan Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Farhan Yusri. – HARAKAHDAILY 25/7/2019
IMG 20190725 WA0011
- Advertisement -