Apa motif enam pemimpin DAP temui Muhyiddin

shahir3
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mempersoalkan motif pertemuan tertutup enam pemimpin DAP bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan isu-isu kewarganegaraan.
 
Menurut laporan media, enam pemimpin DAP yang terlibat dalam pertemuan tertutup tersebut adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Hanna Yeoh, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pemuda Parti Ikatan, Shahir Adnan berkata, pihaknya menzahirkan kebimbangan apabila menteri dan ahli parlimen DAP yang tidak berkaitan dengan portfolio kementerian itu turut serta dalam membentangkan isu tersebut.

“Apakah kaitan isu kewarganegaraan dengan Menteri, Timbalan Menteri berlainan portfolio dan Ahli Parlimen DAP sehinggakan mereka semua bersama-sama membentangkan isu yang tiada kena mengena dengan kementerian masing-masing?

“Dewan Pemuda Ikatan mahu pemimpin DAP menyatakan motif perjumpaan mereka dengan Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut mempersoalkan adakah DAP terkesan apabila pendaftaran undi secara automatik dan penurunan had umur kepada 18 tahun bakal memberi kesan kepada pertambahan berganda pengundi berbangsa Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Apakah DAP terkesan dengan situasi ini dan memulakan agenda pintu belakang untuk memujuk Menteri Dalam Negeri memberikan kewarganegaraan kepada bangsa-bangsa lain dari luar?” soalnya.

Tambahnya, umum mengetahui bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa meluluskan kewarganegaraan ke atas kes-kes istimewa.

Justeru itu, pihaknya menggesa pimpinan DAP bersikap telus dan mengutarakan ‘masalah dan isu’ mereka di Dewan Rakyat kerana isu itu adalah berkaitan kedaulatan tanah air. – HARAKAHDAILY 24/7/2019

- Advertisement -