Pengajian ILHAM satukan fikrah ahli PAS

- Advertisement -
GOPENG: Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS  menitikberatkan soal pendidikan terhadap ahli-ahlinya terutamanya mengenai kefahaman Islam di samping melaksanakan peranan sebagai sebuah parti politik.
 
Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiah atau singkatannya ILHAM merupakan institusi pendidikan di bawah Lajnah Tarbiah yang menawarkan kursus bertaraf diploma.
 
Merasmikan majlis pelancaran kelas pengajian ILHAM Negeri Perak, Ketua Pengarah ILHAM Malaysia Dr Asiah Ali berkata, antara objektif ILHAM ialah menjayakan gagasan mengulamakkan intelektual dan mengintelektualkan ulamak.
 
Di samping itu, modul yang ditawarkan oleh institut ini bertujuan untuk menyeragamkan fikrah ahli-ahli PAS yang datang daripada pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosial.
 
Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga Adun Gunung Semanggol pada majlis berlangsung di Wisma Purnama, di  sini kelmarin.
 
Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai kepentingan ahli-ahli PAS untuk mempunyai pengetahuan yang mencukupi berkenaan tasawur Islam agar mereka memahami aspek pelaksanaan ajaran Islam sebenarnya sebagai persediaan untuk memerintah kerajaan.
 
Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Mustafa Shaari yang menyatakan bahawa sijil ILHAM ini mempunyai nilainya tersendiri dalam skop dalaman parti.
 
“Kita akan mempertimbangkan untuk menjadikan di antara kriteria yang diberi keutamaan dalam soal perjawatan parti dan pencalonan dalam pilihan raya ialah individu yang memiliki sijil ILHAM,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 23/7/2019
- Advertisement -