KOHILAL bangkit semula bersama UMMAH, ABATA

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad (KOHILAL) mahu bangun kembali bersama Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta ABATA Commerce Sdn Bhd, setelah mencatatkan kerugian bernilai RM40 juta, 9 tahun lalu. 
 
Pengerusinya, Mustapha Salleh berkata, kebangkitan KOHILAL hari ini merupakan satu cetusan bersama UMMAH, SKM dan Abata untuk menunaikan tanggungjawab fardu kifayah yang merupakan satu tuntutan bersama untuk membantu umat Islam.
 
“Cetusan ummah ini, satu cetusan yang memberi gambaran tanggungjawab fardu kifayah kita yang amat besar, kita mesti bertanggungjawab mencari barang dari orang kita,” ujarnya dalam majlis menandatangani memorandum usahasama KOHILAL, UMMAH dan ABATA di Hotel Putra, di sini hari ini. 
 
Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, tujuan kerjasama tersebut terjalin adalah untuk memastikan umat Islam di Malaysia membuat satu pilihan tepat dalam jual-beli produk Muslim, selain mambantu dan memasarkan produk Muslim. 
 
“Di antara tujuan yang lain juga ialah supaya membantu masyarakat, pengeluar Muslim yang berada dalam negara kita ini, untuk meningkatkan perniagaan mereka. 
 
“Kemudian sumbangan yang diberikan oleh masyarakat umat Islam dalam produk ini, akan memberikan kemudahan kepada umat Islam dalam bentuk zakat pula,” ujarnya. 
 
Lantaran itu, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia membantu memberikan sokongan penuh dalam usaha sama yang dijalankan itu dengan kerjasama ABATA sebagai platform pemasaran KOHILAL. 
 
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad dan Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya serta Pengarah SKM Wilayah, Amran Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif ABATA, Mohd Izzat Ismail, serta beberapa pimpinan dari ke semua pihak yang terlibat. – HARAKAHDAILY 23/7/2019
- Advertisement -