Dunia perlu bertindak terhadap Israel

- Advertisement -

PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang mengerahkan tenteranya untuk merobohkan kediaman penduduk Palestin di Perkampungan Sur Baher, Wadi al Hummus, Timur Jerusalem, Palestin. Ratusan tentera Israel berserta jentera beratnya telah mula meroboh kediaman rakyat Palestin walaupun mendapat tentangan daripada Kerajaan Palestin dan masyarakat antarabangsa.

- Advertisement -

Mahkamah Tinggi Israel telah meluluskan permohonan Tentera Israel untuk merobohkan kediaman rakyat Palestin dan bermulanya perobohan kediaman rakyat Palestin yang terbesar dalam sejarah semenjak tahun 1967.

Alasan keselamatan yang digunakan oleh Israel untuk merobohkan kediaman rakyat Palestin di perkampungan tersebut tidak boleh diterima, memandangkan telah diketahui umum bahawa pencerobohan tanah dan kediaman penduduk Palestin oleh Israel adalah untuk meluaskan kawasannya dan membina penempatan haram.

Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) membantah perobohan tersebut, Israel tetap angkuh dan melaksanakannya. Apa yang jelas hari ini, Israel sekali lagi melanggar perjanjian yang ditandatanganinya di Oslo, Norway pada tahun 1993 dengan menceroboh kawasan pemerintahan Kerajaan Palestin dan Resolusi 446 PBB yang melarang Israel menceroboh, membina dan memindahkan penduduk Isreal ke wilayah Palestin.

PAS mendesak OIC dan Liga Arab agar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan campur tangan dalam pecerobohan kediaman rakyat Palestin di wilayah tersebut. PAS juga turut mendesak agar negara-negara Islam memberikan sokongan padu dan berdiri teguh bersama Palestin dan rakyatnya dari kekejaman rejim Israel. Dunia harus bertindak di atas kekejaman Israel dan mengenakan sekatan sama ada politik mahupun ekonomi terhadap rejim Israel.

Sudah sampai masanya dunia bertindak membela nasib rakyat Palestin. Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak tegas ke atas rejim Israel. Walaupun pelbagai resolusi dan tekanan dikenakan terhadap rejim Israel, namun mereka tetap meneruskan agenda mereka kerana dilindungi oleh beberapa negara kuasa besar dunia.

Dunia perlu bersatu melabelkan Israel sebagai negara pengganas. Mereka membunuh, merogol, menghalau warga Palestin dari negeri mereka tidak kira kanak-kanak, wanita atau warga emas. Hanya pengganas sahaja yang mampu dan berupaya berbuat demikian. Sampai bilakah kita sebagai negara dan umat Islam memejam mata dan membiarkan Israel bertindak demikian?

Selagimana Islam dan umatnya tidak bersatu padu dan berpegang dengan ajaran agamanya, selagi itulah Islam dan umatnya lemah dan akan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuhnya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Zulkaedah 1440 / 23 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 23/7/2019

- Advertisement -