Pasir Gudang tidak lagi sesuai dihuni manusia?

- Advertisement -
PASIR GUDANG: Penduduk sebenarnya berada dalam dilema dan tanpa jaminan akibat survival kehidupan mereka yang semakin menjurus kepada ancaman serta konflik dengan pelbagai pihak.
 
Sehingga kini dilihat tidak terdapat sebarang tindakan serius dan proaktif daripada kerajaan dalam menangani pencemaran udara akibat bahan kimia yang melanda sekian lama, di sini.
 
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Zikri Ismail berkata, realiti yang wujud sememangnya meletakkan semua pihak berkepentingan di dalam pertembungan berat.
 
“Penduduk sudah tentu apabila mendiami dengan memiliki rumah mengimpikan masa depannya di bina di sini. Kerjaya, pembinaan keluarga, nikmat hidupan yang lestari dengan persekitarannya.
 
“Tetapi jika saban waktu terdedah dengan udara seperti ini, kebimbangan sudah tentu bersarang dalam diri. Tiada siapa yang merasa selamat untuk terus hidup sebagaimana diimpikan.
 
“Akhirnya secara tidak langsung, akan timbul sengketa antara penduduk, pekerja, kilang, pelabur kerajaan, bahkan alam sekitar. Masing-masing ada kepentingan yang mahu dipertahankan,” ujarnya semalam.
 
Pandangan tersebut menjadi ulasannya selepas turun mengadakan tinjauan lokasi penting dan menemui beberapa pihak termasuk mangsa dalam kalangan penduduk yang terlibat dalam isu ini.
 
Beliau disertai Pengerusi Lajnah Tanah Peneroka, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Pemuda PAS Negeri Johor, Mohamad Alif Baharum dan Pengarah Briged Muslimat Johor, Derwena Masuruni.
 
Turut bersama ialah pimpinan PAS Kawasan Tebrau iaitu Ketua Muslimat, Rohaiza Mohd Razali dan Ketua Penerangan, Mohd Zamri Samion serta Exco Pemuda, Asnozi Abdullah dan Setiausaha Briged Muslimat Kawasan Pasir Gudang, Siti Nur Aishah Abdullah.
 
Menurut Zikri, demi masa depan penduduk, terdapat keperluan mendesak untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan menguji darah untuk mengetahui tahap sebenar keadaan diri.
 
“Soalnya, adakah kerajaan sedia memberi pemeriksaan percuma atau menanggungnya demi kesejahteraan dan masa depan hidup penduduk? Setakat hari ini, mangsa mengadu diabaikan.
 
“Soalnya juga, di mana kerajaan dalam konflik ini? Adakah nantinya akan ‘memenangkan’ penduduk atau pelabur dan pemilik kilang? Ke mana hala tuju sebenar masa depan dan pembangunan Pasir Gudang?” tanya beliau.
 
Pembangunan kilang perindustrian berasaskan kimia yang sangat banyak dan menyesak bersama kediaman penduduk di Pasir Gudang dilihat memerlukan penyelesaian komprehensif.
 
Ketika ini Pemuda PAS Malaysia melihat penduduk sebagai mangsa keadaan, namun malangnya kerajaan dilihat tiada iltizam politik untuk menangani keadaan sedia wujud tersebut.
 
Zikri turut menggesa pakar-pakar dari pelbagai bidang berkaitan supaya tampil memberi pandangan serta cadangan penyelesaian yang disenangi dan menyelamatkan semua pihak secara adil. – HARAKAHDAILY 22/7/2019
IMG 20190722 WA0017
 
IMG 20190722 WA0016
 
20190722 123006
 
20190722 123033
- Advertisement -