Adakah halang guna jenis lampu kenderaan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Zahari Sarip meminta Menteri Pengangkutan, menyatakan adakah kementerian mempunyai undang-undang yang menghalang penggunaan jenis-jenis lampu kenderaan tertentu.

- Advertisement -

Kata beliau, hal ini kerana ada ketikanya jenis-jenis lampu tersebut mengganggu pemandu kenderaan lain.

“Jika kita lihat terdapat banyak kenderaan yang memasang lampu-lampu tambahan dan lampu yang sedia ada ditambah dengan lampu sorot dan signal pelbagai bentuk.

“Adakah ini juga menyalahi peraturan dan undang-undang dari segi penguatkuasaan lalu lintas?” soal beliau.

Beliau mengemukakan soalan tersebut semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, pihak kementerian mempunyai undang-undang untuk mengawal selia pembinaan dan penggunaan lampu hadapan pada sesebuah kenderaan motor.

Kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengawal selia pematuhan standard mandatori dan spesifikasi lampu kenderaan terhadap setiap model baru kenderaan melalui proses kelulusan jenis kenderaan.

“Lampu-lampu yang tidak dibenarkan ialah lampu yang bercanggah dengan peraturan atau lampu yang diubah suai oleh bengkel dalam negara ini.

“Secara dasarnya, jika ia diubah suai secara langsung ianya sudah menjadi kesalahan dari segi undang-undang jalan raya,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 22/7/2019

- Advertisement -