JK PAS Terengganu ada tiga elemen penting

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menggambarkan pelantikan Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang baharu bagi Sesi 2019-2021 ini sebagai persediaan kepimpinan pelapisnya.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Dato’ Husain Awang berkata pelantikan itu sekurang-kurangnya mempunyai tiga eleman penting bagi PAS negeri ini.

“Pertama, kita hendak mewujudkan golongan pelapis kepimpinan ulama. Kedua, hendak menyelaraskan antara pemegang dasar kerajaan negeri dengan pemegang dasar parti dan ketiga, hendak meremajakan kepimpinan PAS Negeri Terengganu.

“Matlamatnya ialah untuk memperkasakan parti ke arah hendak mempertahankan kemenangan yang ada sekarang ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq), batu Enam, Kuala Nerus, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, oleh kerajaan negeri mengikut tahap-tahapnya.

“Setakat ini pihak parti berpuas hati dengan pelaksanaan manifesto PRU14 lalu dan berpuas hati dengan langkah yang diambil oleh pihak kerajaan, yang melaksana semua janji manifesto kita mengikut tahap-tahap yang difikirkan sesuai, Alhamdulillah.

“Insya Allah, team yang saya bentuk ini akan memberikan cadangan-cadangan yang komprehensif kepada saya, insya-Allah,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 21/7/2019

- Advertisement -