Sukarelawan dakwah timba pengalaman di P. Banggi

- Advertisement -
KUDAT: Muslim Care Malaysia dengan kerjasama Muslim Care Europe telah menganjurkan program sukarelawan “Igniters: The Prismce Movement ’19” di Pulau Banggi pada 13 hingga 16 Julai lalu.
 
Menerusi program ini, peserta melaksanakan pelbagai aktiviti menyantuni warga pulau terbesar Malaysia itu yang mempunyai kepadatan 30,000 penduduk dengan 70 peratus daripadanya adalah Muslim.
 
Pun begitu menurut Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan, penduduk tersebut kurang pendedahan terhadap pendidikan Islam hingga kurang memahami agama sendiri.
 
Ditambah dengan ketiadaan sekolah berkaitan katanya, keadaan itu menuntut kerja dakwah dan program keilmuan dilaksanakan termasuk kebajikan seperti sumbangan, kesihatan dan motivasi.
 
Program kali ini telah memberi tumpuan di tiga penempatan iaitu Kampung Salangan, Kampung Maligu dan Kampung Tembising melibatkan 250 penduduk disantuni dengan aktiviti yang disusun.
 
Pihak penganjur juga turut melaksanakan usaha pembangunan apabila dua surau telah berjaya dibina masing-masing di Kampung Maligu dan Kampung Tambising, juga untuk kegiatan masyarakat.
 
Terdahulu, para peserta ‘menikmati’ pengalaman menempuh perjalanan sekitar 12 jam bermula dari pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hingga ke Pulau Banggi.
 
Mereka juga perlu menaiki feri, sebelum melengkapkan kenangan indah permusafiran dakwah itu dengan menaiki pacuan empat roda memasuki kampung di pedalaman. – HARAKAHDAILY 20/7/2019
IMG 20190720 WA0086
 
IMG 20190720 WA0090
- Advertisement -