Politik bersih kerana nilai Islam

- Advertisement -
PERJUANGAN PAS kekal berlandaskan Al Quran, Sunnah, Ijma dan Qias biarpun berganti pimpinan dan seluruh ahli parti wajib meyakininya. Pelbagai tohmahan dan cacian yang telah dilontar kepada PAS sehingga hari ini adalah kerana PAS tegas berprinsipkan dasar Islam, bukannya kerana parti PAS lemah dan sebagainya. PAS di bawah Pakatan Rakyat mampu memenangi 22 kerusi parlimen, manakala dengan Gagasan Sejahtera mampu memenangi 18 kerusi Parlimen dan ini adalah kemenangan.
 
Hal ini turut menegaskan bahawa perjuangan PAS bukanlah perjuangan ke Putrajaya semata-mata, tetapi perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah di Malaysia tercinta ini. Isu penggunaan agama yang sering dimainkan oleh politik lawan menduduh PAS sebagai parti penunggang agama, menggunakan agama demi kepentingan parti adalah jauh tersasar dan tidak cerdik.
 
Pentadbiran politik secara semak dan imbang pasti akan menampilkan pelbagai masalah dari sudut agama, bangsa, rakyat mahupun negara yang perlu diselesaikan mengikut rujukan-rujukan tertentu. Oleh itu, ahli PAS mesti yakin dan tsiqah bahawasanya Islam ialah sebaik-baik jalan penyelesaian.
 
Islam sebaik jalan penyelesaian
 
Permasalahan yang berlaku di Malaysia tidak terkecuali berlaku di Negara-negara yang lain sama ada dari sudut agama mahupun politik. Gejala politik kotor yang semakin membarah dalam masyarakat kita hari ini hanya dapat diselesaikan dengan memahami ajaran Islam yang sebenar.
 
Ajaran Islam yang sebenar ialah ajaran yang bersumberkan Al Quran, Sunnah Rasulullah, Ijmak para ulamak, dan Qias. Dengan pemahaman Islam yang baik, maka secara sendirinya kita akan lebih yakin bahawa setiap permasalahan yang berlaku akan dapat diselesaikan dengan panduan Islam.
 
Sebagai umat Islam, menjadi keperluan kepada kita untuk meyakini suatu masalah itu adalah datangnya dari Allah, dan Allah jualah yang memberikan penyelesaian kepada kita melalui sumber-sumber tersebut bertujuan untuk mengajar dan memperkukuhkan iman kita. (Dr. Rosni Adam, 2017) Segala permasalahan yang timbul, pastinya akan dapat diselesaikan jika terus berbalik kepada agama tidak kira masalah sosial, kewangan, hutang liabiliti, perwarisan harta dan sebagainya.
 
Pemahaman perjuangan politik Islam mampu memacu para mujahidin untuk sentiasa mengutamakan kepentingan beragama dalam menyelesaikan masalah. Mengapa perlu kita mencemuh orang yang menggunakan agama demi menyelesaikan masalah? Hal ini tidak wajar kerana hakikat akal kita hanya terhenti kepada apa yang ada di depan mata, sedangkan agama Islam ini meliputi perkara yang tidak kita lihat, iaitu dosa dan pahala.
 
Jika suatu perjuangan itu tidak berlandaskan agama, maka segala apa yang dibuat adalah halal. Seorang pemimpin boleh menfitnah, menuduh parti lawan dengan pelbagai cara sehingga dijatuhkan, sedangkan menfitnah ini adalah satu dosa besar. Hal ini difirmankan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 191 dan 217 menjelaskan bahawa fitnah ini teruknya lebih besar dari membunuh.
 
Lalu apabila timbul kes tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, khianat-mengkhianati wajarlah untuk PAS tidak terkehadapan secara terburu-buru dalam memberi pandangan. Adapun jika pimpinan PAS membacakan ayat yang menjelaskan dosa fitnah itu untuk tidak memberi komen awal, maka PAS dituduh ‘parti pengecut’ yang menunggang agama. Ini adalah persepsi kotor dan ianya tidak selari dengan kehendak ajaran Islam iaitu tidak boleh dihukum melainkan terbukti bersalah.
 
Polemik kotor tidak berlandaskan agama ini akhirnya memalitkan PAS menerima dana 1MDB sebanyak RM90 juta. Isu yang dimainkan ini tidak dicanang oleh sembarangan orang, antara mereka yang terlibat ialah pimpinan PAN. Mereka mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi hatta perkara tentang fitnah sahaja mereka tidak tahu mengatasi dengan cara mudah yang diajarkan dalam Islam.
 
Tanpa bukti yang kukuh, mereka dengan senang hati berkata-kata buruk tentang peribadi seseorang, menuduh pimpinan PAS menerima duit 1MDB untuk  memenangi undi rakyat dengan cara menjatuhkan PAS khususnya. Akhirnya, rakyat Malaysia sendiri hari ini mampu melihat dan menilai bahawa setiap tuduhan tersebut hanyalah palsu, sesuai dengan pengakuan SPRM yang mengesahkan bahawa tiada seorang pun akaun ahli PAS terlibat dengan skandal 1MDB. (Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, 2019)
 
Di sini, penulis ingin menimbulkan beberapa persoalan, ke mana hilangnya laungan RM90 juta yang enak didendangkan mereka semasa PRU14 yang lalu? Tidakkah mereka berasa malu kerana tuduhan jahat ini akhirnya tewas di tangan SPRM sendiri?
 
Malaysia hari ini juga dikejutkan dengan pelawaan PAS untuk sertai PH dan hal ini tampak lebih bermasalah dan tidak menyelerakan kerana yang mengutarakan ini ialah pimpinan PAN itu sendiri, Inilah antara impak negatif yang akan berlaku jika tiada nilai Islam yang disertakan dalam membuat keputusan. Tiada lagi erti pemahaman halal dan haram, dosa dan pahala.
 
Maka untuk menerajui politik bersih dan sejahtera, penulis menyeru rakyat Malaysia khususnya untuk sentiasa meyakini, hanya Islam sebagai satu-satunya jalan penyelesaian untuk semua permasalahan yang ada. Sesuai dengan firman Allah:
 
“Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad (untuk menyampaikan Islam) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”
(Al Anbiya, 107)
 
PAS sebagai parti pilihan rakyat
 
Lewat tahun 2010, Menteri Agama yang ketika itu anggota Parlimen Parit Buntar di atas tiket PAS mengeluarkan satu buku bertajuk “Menuju PAS Baru” yang penulis kira dalam kategori gagal kerana isi kandungannya yang jauh tersasar dari fikrah perjuangan PAS.
 
Mujahid di dalamnya bukunya mengakui bahawa PAS gagal merencanakan kemenangan Islam adalah kerana pimpinannya dikalangan ulamak. Hal ini secara tidak langsung turut membawa maksud bahawa ulamak adalah punca PAS tidak dapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Buku tersebut diadakan bertujuan untuk menjadikan PAS lebih Liberal dan bersifat nasional di samping mengenepikan ajaran dan tuntutan Islam.
 
Buku tersebut gagal mendapat perhatian ahli PAS khususnya kerana isi kandungannya terlalu bersifat menolak penglibatan Islam dalam perjuangan politik tanah air. Secara tidak langsung juga turut membuktikan bahawa beliau tidak sedikit pun setara dengan presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi dalam penghasilan buku ilmiah untuk membentuk idealisme perjuangan PAS.
 
Kenyataannya hari ini, rakyat Malaysia terus menyatakan sokongan padu kepada perjuangan PAS di bawah pimpinan presidennya kini. Hal ini terbukti dengan galakan dan penyertaan rakyat dalam penubuhan pelbagai institusi yang dibangunkan oleh PAS iaitu antaranya : Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI), Kolej Universiti Zulkifli Mohamad (KUIZM) dan banyak lagi.
 
Inilah menifastasi penerimaan rakyat terhadap PAS sebagai satu-satunya parti politik yang tidak hanya berpolitik, tetapi tetap mengutamakan aspek dakwah dan tarbiyah dalam membina generasi masyarakat yang berguna seterusnya mampu melahirkan pelapis pejuang yang akan terus menyambung perjuangan Islam.
 
Meskipun PAS bukan parti kerajaan, PAS mampu menghidupkan siyasah syar’iyyah di kalangan hati para mujahidin dalam perjuangkan Islam. Oleh itu, perkataan “Kita takluk Putrajaya, baru kita laksana Islam” adalah tidak relevan dan bercanggah dengan tuntutan Islam seperti mana ibrah sirah Rasulullah S.A.W.
 
Sirah Rasulullah menceritakan bahawa perjuangan awal Nabi Muhammad ialah memahamkan para sahabat tentang Islam, jauh sekali dengan perjuangan PAN yang hendakkan kuasa dahulu baru laksana Islam. Inilah sifat penting diri yang perlu ahli PAS elakkan kerana dikhuatiri akan merugikan masa dan pengorbanan dalam perjuangan.
 
Sehingga hari ini, perjuangan PAN untuk membawa Islam setelah kemenangan ke Putrajaya hanyalah satu retorik dan ia amat memalukan!
 
Umat Islam mesti bersatu-padu membentuk barisan benteng-benteng pejuang Islam dengan cara mendalami ilmu Islam. Hal ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan kefahaman kepada kita untuk memahami tuntutan Islam kepada kita secara ilmiah berbanding dengan persepsi kotor yang dilemparkan oleh parti lawan.
 
Kesimpulannya, walaupun perjuangan PAS seringkali dipandang rendah oleh parti lawan, ia tetap kuat dengan sokongan rakyat di pelbagai lapisan, agama dan bangsa yang sentiasa meyakini bahawa Islam ialah sebaik-baik jalan penyelesaian dan hanya PAS satu-satunya parti yang memperjuangkannya. – HARAKAHDAILY 21/7/2019
- Advertisement -