LDPP: Menggalas tugas yang mencabar

- Advertisement -

HARI ini saya memulakan langkah pertama bagi menjalankan tugas baharu setelah diamanah sebagai Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat (LDPP). Suatu tugasan yang sangat berat dan mencabar.

- Advertisement -

Insya-Allah, jam 1.30 petang ini akan dilangsungkan mesyuarat pertama Lajnah Dakwah PAS Pusat (LDPP) bagi sessi 2019/2021.

Sebetulnya gerak kerja LDPP ini terus sahaja saya langsungkan sejak 2 minggu yang lalu sejurus diamanahkan oleh jamaah bagi menyambung tugas sahabat saya YB Ustaz Nik Mohd Abduh sebagai Pengerusi Lajnah sesi lepas.

Alhamdulillah LDPP telah lancarkan pendaftaran sukarelawan dakwah sejak 2 minggu lepas dengan sasaran 1,000 sukarelawan dakwah menjelang akhir tahun ini.

LDPP memerlukan tenaga dan amal bakti sukarelawan ini seberapa segera yang boleh untuk melancarkan gerak kerja dan menjayakan aktiviti dakwah yang akan digerakkan selepas ini.

Lajnah ini masih muda usianya. Mula dibentuk pada tahun 2013. Pengerusi pertamanya ialah YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man bagi sesi 2013/15 dan sesi 2015/17.

Sementara sessi 2017/19, Lajnah Dakwah PAS Pusat dikemudikan oleh YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Alhamdulillah, kebetulannya saya sendiri mempunyai sedikit pengalaman mengendalikan LDPP ini semasa saya bertugas sebagai Timbalan Pengerusi 1 LDPP pada sessi awal penubuhannya (2013/15)

Insya-Allah, saya dan rakan-rakan yang diamanahkan untuk mengemudi LDPP ini akan berusaha gigih guna merealisasikan harapan jamaah untuk menjadikan PAS benar-benar berfungsi sebagai Gerakan Dakwah, seimbang dengan sektor tarbiyah dan siasah.

Sepanjang Dua sessi yang lalu (2015/17 dan 2017/19), saya telah dipostkan sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Pusat. Kini baton penerangan digenggam kemas oleh sahabat saya Sdr Kamaruzaman Mohamad untuk terus membuat larian bergaya menuju kejayaan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan (taufiq) dan petunjuk (hidayah) kepada kita semua untuk memacu perjuangan Islam ini biarpun di mana kita diposisikan.

Apabila saya menamatkan sessi bertugas saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (2009/11 dan 2011/13), saya sangat mengharapkan agar saya kembali diposisikan dalam sektor tarbiyah. Justeru inilah minat dan keupayaan saya yang sebenar.

Sejak di pusat pengajian (Universiti Al Azhar – Tanta) saya dididik dan diasuh dalam sektor tarbiyah. Sehinggalah saya diamanahkan sebagai Setiausaha Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang pada zaman Al-Fadhil Ustaz Yusuf Embong menjadi pengerusinya sekitar tahun 2000.

Sejak itu saya berkhidmat dalam sektor tarbiyah, (sektor yang paling saya minati) sehinggalah berakhir pada tahun 2008 sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiah DPPM merangkap Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia pada waktu itu.

Apabila tamat sessi taklif sebagai Ketua DPPM pada tahun 2013, saya mengimpikan agar saya terus diposisikan dalam sektor tarbiah bersama rakan-rakan yang lain di bawah kepimpinan YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiah pada masa itu.

Namun saya diposting ke Lajnah Dakwah (yang baru dibentuk pada tahun itu), bergandingan dengan Al-Fadhil Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hari ini, saya ditaklifkan semula untuk mengemudi Lajnah Dakwah. Tentu sahaja saya sangat mengharapkan pertolongan, bimbingan, tunjuk ajar dan nasihat semua pihak untuk terus memajukan Lajnah Dakwah ini.

Berjuang Selagi Hayat Dikandung Badan

NASRUDIN HASSAN
Sekali Serban Dililit. 119
17 Zul Qaedah 1440 | 20 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 20/7/2019

- Advertisement -