UMMAH akan mengadap YDPA isu Tommy Thomas

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berhasrat menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu prestasi Peguam Negara, Tommy Thomas.
 
Secara khusus menurut Presiden UMMAH, Aminuddin Yahaya,  memorandum tersebut adalah berkenaan perlanggaran prosiding inkues anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
 
Menurut beliau, pihaknya juga merancang perkara sama kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menimbang tara kedudukan Tommy sebagai Peguam Negara. 
 
Selain itu katanya, UMMAH berusaha menfailkan laporan polis berhubung kecuaian Tommy dalam menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara.
 
Selasa lalu, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan sebelah pihak bagi mendapatkan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkues anaknya.
 
Lantaran itu, UMMAH tampil memberi sokongan penuh terhadap tindakan keluarga Adib dan memberi jaminan akan memerhatikan secara dekat semua tindakan serta prosedur yang berjalan di mahkamah berhubung kes tersebut.
 
Menurut Aminuddin, sekiranya prosiding tidak berjalan sepertimana yang diharapkan, UMMAH sekali lagi akan menggerakkan suara-suara untuk memastikan keadilan terhadap keluarga Adib ditegakkan.
 
“Kita sudah merancang beberapa program termasuk membuat laporan polis terhadap tindakan Peguam Negara dan sebagainya, juga solat hajat. Jadi kita berharap yang dikeluarkan nanti adalah keputusan yang sewajarnya.
 
“Jika keputusan mahkamah mengatakan bahawa Adib dilanggar, kemungkinan kita akan berbincang dengan peguam kita untuk membuat rayuan terhadap kes ini sebab kita melihat bukti yang ditunjukkan oleh Prof Sharom sangat jelas.
 
“Diakui oleh banyak pihak pun sebagai satu bukti yang saintifik, yang menunjukkan kematian Adib adalah disebabkan pukulan oleh pihak tertentu,” ujarnya ketika ditemui di sidang media UMMAH, di Pejabat Muafakat, di sini semalam.
 
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, perkara utama menjadi fokus UMMAH ketika ini adalah memastikan Tommy meletakkan jawatan serta memberi kesedaran kepada rakyat bahawa Tommy tidak layak memegang jawatan tersebut.
 
Rabu lalu, Mahkamah Koroner menetapkan Rabu depan untuk memutuskan sama ada prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib ditutup atau diteruskan.
 
Keesokannya, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim memfailkan permohonan sebelah pihak mendakwa Peguam Negara membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit difailkan oleh Jabatan Peguan Negara pada 3 April lalu.
 
Muhammad Adib, 24, parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 mendapat rawatan. – HARAKAHDAILY 20/7/2019
- Advertisement -