Rumah mampu milik: Pusat mesti jadi peneraju utama

- Advertisement -

KERAJAAN Persekutuan diminta mempercepatkan keputusannya mengenai Perbadanan PR1MA Malaysia.

- Advertisement -

Sebelum ini telah diumumkan satu penelitian wajar (due dilligence) akan dilakukan dan keputusan mengenai masa depannya akan dibuat.

Bagaimanapun, tarikh yang dijanjikan telah berlalu dan kita masih menanti perkembangannya dengan perasaan yang teruja.

Apa sahaja keputusannya kelak, sasaran untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri tidak akan dapat tercapai tanpa campur tangan kerajaan.

Buat masa ini kerajaan negeri contohnya Kerajaan Negeri Selangor telah mewajibkan pemaju-pemaju rumah dengan projek melebihi keluasan tertentu menyediakan peratusan tertentu rumah mampu milik yang berharga dari RM42,000 ke RM220,000 seunit.

Polisi tersebut berjaya meningkatkan stok rumah mampu milik tetapi ramai pemaju melaporkan ianya membebankan dan menyebabkan mereka mengalami kekangan kewangan.

Polisi tersebut memerlukan pemaju-pemaju menanggung sebahagian dari kos pembinaan rumah mampu milik tersebut memandangkan harga tanah dan kos pembinaan sering kali lebih tinggi dari harga jualan yang diluluskan.

Bagaimanapun terdapat dakwaan yang pemaju-pemaju telah menaikkan harga rumah bukan mampu milik untuk menampung tanggungan mereka itu. Akhirnya ia menjadi kes pembeli rumah yang menanggung pembeli rumah yang lain dan bukan pemaju seperti yang dihasratkan.

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak keseluruhan beban tidak harus diletakkan ke atas pemaju-pemaju swasta semata-mata.

Malaysia memerlukan entiti seperti HDB di Singapura dan sebab itu PR1MA atau entiti yang serupa dengannya untuk menangani masalah perumahan nasional adalah satu kemestian.

Walaupun pemaju-pemaju juga perlu memainkan peranan mereka tetapi pembinaan rumah mampu milik mestilah diterajui oleh Kerajaaan Persekutuan terutamanya bila ia memerlukan sejumlah peruntukan tunai yang besar.

Rumah mampu milik tidak harus dilihat sebagai bahan komersial semata-mata. Pulangannya kepada kerajaan kelak bukanlah dalam bentuk kewangan tetapi wujudnya warganegara yang gembira, makmur, sejahtera dan efisien hasil dari tempat tinggal yang sempurna. Malah HDB di Singapura juga menerima suntikan dana dari kerajaannya.

Sehubungan itu, pelantikan individu korporat dengan pemahaman terbatas terhadap permasalahan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk menerajui entiti ini adalah tidak wajar sama sekali.

DATO’ ISKANDAR A. SAMAD
Ketua Penyelaras REACH – HARAKAHDAILY 19/7/2019

- Advertisement -