Kerana terancam PRU15, PAS-Umno diajak sertai PH

- Advertisement -
BUKIT GANTANG: Muafakat politik antara PAS dan Umno yang ditakuti PH selama ini menyebabkan mereka menimbulkan pelbagai tuduhan dan gerakan untuk melemahkan perpaduan terjalin.
 
Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata, ianya disebabkan kemampuan gabungan itu merampas kerusi-kerusi PH pada PRU akan datang.
 
Perkara tersebut dinyatakan beliau semasa berucap pada Ceramah Perpaduan Ummah di Musolla Bendang Siam, Batu 8, di sini malam kelmarin.
 
Kini katanya, dengan keadaan yang semakin terdesak, maka pemimpin PH mengajukan ajakan supaya PAS menyertai mereka kerana sedar kesan gelombang penyatuan ini pada kerusi dimenangi PH.
 
“Oleh itu, kerjasama PAS dan Umno ini diharap berkekalan apabila ia melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Malah, nikmat kesatuan ummah pasca PRU14 ini akan diperkasakan lagi.
 
“Walaupun kerjasama ini menerima tuduhan dan pandangan negatif sesetengah pihak, namun ia tidak jejaskan muafakat yang telah dipersetujui dan ia telah berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969 lagi apabila kepentingan Melayu-Islam digugat,” ujarnya.
 
Hadir sama adalah Adun Kuala Sepetang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar dan Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud serta Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani. – HARAKAHDAILY 20/7/2019
- Advertisement -