Undi18: PRN S’wak medan anak muda berpartisipasi

- Advertisement -
PEMUDA PAS Sarawak teruja apabila Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 telah meluluskan suatu Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi: menurunkan hak layak mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun secara pendaftaran automatik serta kelayakan menjadi calon mendapat sokongan penuh dari semua Ahli Dewan Rakyat.
 
Setelah 41 tahun Parlimen bersidang buat pertama kalinya dalam sejarah Legislatif, pihak Kerajaan dan Pembangkang bersetuju dan menyokong suatu Rang Undang-Undang yang di bawa oleh Perdana Menteri yang memerlukan kelulusan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen. Ini terbukti budaya politik matang dan sejahtera sangat relevan demi kepentingan negara serta keutamaan rakyat.
 
Pemuda PAS Sarawak melihat Undi18 ini merupakan peluang dan ruang keemasan untuk kami terus mendekati anak-anak muda terutamanya anak muda Sarawak bagi memberi kesedaran dan kepentingan, pentingnya anak-anak muda mengambil bahagian dan  menyertai amalan menyemburkan sistem demokrasi dalam memilih pemimpin negeri mahupun negara agar peristiwa keputusan PRU14 tidak berulang lagi.
 
Kami sedar suatu cabaran besar untuk memastikan tahap kecaknaan berpolitik di kalangan generasi muda Sarawak yang secara realitinya kurang berminat dan masih jauh ketinggalan dalam keterlibatan berpartisipasi. Namun Pemuda PAS Sarawak akan mengarahkan semua Dewan Pemuda Kawasan serta produk entiti seliaan Pemuda untuk turun ke lapangan awam berjumpa dan mendekati anak-anak muda untuk memberi penerangan dan penjelasan pentingnya mengundi dan memilih pemimpin.
 
Statistik dari Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Sarawak mendapati hanya sekitar 60 hingga 62 peratus daripada jumlah keseluruhan seramai 1,220,950 juta pengundi yang layak mengundi turun mengundi pada PRU14 yang lepas. Selain itu, data menunjukan selepas Undi18 di luluskan di Parlimen semalam, jumlah rakyat Sarawak yang layak mengundi seramai 2 juta, jika PRN berlaku dalam masa terdekat.
 
Justeru, dengan Undi18 ini, keyakinan kami bahawa lanskap politik negara khasnya Sarawak akan lebih baik dan mengangkat kualiti pemimpin negara yang jauh lebih bermoral dan berkaliber dari yang ada pada hari ini.
 
“Demi Islam”
 
HAMDAN SANI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 18/7/2019
- Advertisement -