PH jadikan Sidang Dun Melaka ‘rubber stamp’

- Advertisement -
SIDANG Dun termulia sebagai tempat menentukan punca kuasa, kelicinan, kecekapan dan wibawa pentadbiran, kedaulatan perundangan serta integriti dari peranan semak dan imbang. Malangnya, perkembangan terbaru di bawah pemerintahan PH menunjukkan Sidang Dun Melaka tidak lebih sekadar ‘rubber stamp’.
 
Ianya juga terus memperlihatkan di mata awam bahawa Ketua Menteri dari PAN hanya berada di kerusi empuk kerajaan boneka, namun segala agenda dipengaruhi DAP. Biar dinafi berkali-kali, tetapi telah nyata banyak tindakan Kerajaan Negeri Melaka telah menyempurnakan banyak tujuan-tujuan dan juga kepentingan DAP.
 
Penolakan tanpa alasan oleh Speaker Dun Melaka terhadap notis usul Adun Serkam adalah satu tragedi kepada institusi dihormati itu. Malah, usaha mendapatkan penjelasan semasa sidang dijalankan juga tidak dihiraukan pihak Speaker. Paling ketara, Speaker seperti tiada hujah dan seakan bertindak ‘melarikan diri’.
 
Ia juga suatu hakikat memalukan dan mencemarkan, bahkan merosakkan ‘reputasi dan maruah’ (itupun sekiranya ada) kepada Pemuda PAN dan DAP terutamanya. Merekalah bermati-matian mempertahankan isu Hospital Pakar Putra atas ‘penaklukan’ dan sentimen perkauman yang dikembangkan di GLC Kerajaan Negeri Melaka itu.
 
Jika benar PH telus dan berani, usul menuntut ditubuhkan Jawatankuasa Bebas melaksanakan forensik akaun dan pengurusan Hospital Putra itu bukanlah satu masalah. Malah, ia juga menuntut demi kepentingan rakyat supaya kertas putih hasil forensik nanti dibentang di Sidang Dun juga.
 
Namun, usul bukan sahaja ditolak, bahkan tanpa mengemukakan alasan dan memberi penjelasan di dalam Sidang Dun. Kami menggesa para Pemuda PH terutama dari PAN dan DAP menunjukkan diri bahawa kalian bukan generasi “yes man” atau seperti ayam daging yang menunggu disembelih oleh tuannya.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”
 
USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 18/7/2019
- Advertisement -