PH harus tahu sempadan politik dengan kerajaan

- Advertisement -
KAMI, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merasa kesal dengan pelbagai reaksi dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin dan pendokong PH ke atas penjawat awam dan institusi kehakiman susulan sabitan Mahkamah dalam kes Wan Ji Wan Hussin yang telah menjatuhkan hukuman penjara setahun keatasnya dibawah Akta Hasutan 1948.
 
Pemimpin PH harus sedar bahawa Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa pegawai perkhidmatan perundangan dan kehakiman termasuklah timbalan pendakwaraya serta lain-lain penjawat awam persekutuan yang lain adalah memegang jawatan mereka berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewajibkan mereka menurut dan bertanggungjawab terhadap Yang di-Pertuan Agong melalui Suruhanjaya perkhidmatan mereka dan bukanlah bertanggungjawab terhadap parti politik pemerintah.
 
Tambahan pula, Fasal 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 memperuntukkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain memberi apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa insiden atau laporan berhubungan dengan jabatannya kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu, sama ada secara am atau khusus, daripada Menteri yang bertanggungjawab bagi kementerian atau jabatan di mana dia sedang berkhidmat.
 
Sebagaimana juga Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kedudukan istimewa kepada institusi kehakiman negara sehinggakan berkuasa menjatuhkan hukuman keatas sebarang perbuatan yang bersifat menghina mahkamah seperti diperuntukkan oleh Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan.
 
Sehubungan itu, kenyataan-kenyataan oleh pemimpin-pemimpin utama PH seperti YB Datuk Seri Anwar Ibrahim (https://www.sinarharian.com.my/article/36922/BERITA/Nasional/Hukuman-Wan-Ji-Anwar-bincang-dengan-PM), Pemuda PH (https://www.sinarharian.com.my/article/37002/BERITA/Politik/Pemuda-PH-tuntut-penjelasan-mengapa-hukuman-Wan-Ji-lebih-berat) dan yang terbaru YB Lim Kit Siang (https://www.sinarharian.com.my/article/37503/BERITA/Nasional/Kit-Siang-saran-DPP-rujuk-manifesto-PH) jelas menunjukkan betapa PH masih jahil tentang sempadan parti politik dan kerajaan. PH telah gagal menjadi kerajaan yang efektif dan profesional serta masih bermentaliti pembangkang apabila merendahkan dan mempersoalkan kuasa dan kredibiliti penjawat awam dan institusi kehakiman. Seharusnya pemimpin-pemimpin PH memahami konsep asas pengasingan kuasa antara kehakiman dan eksekutif serta had sempadan parti politik dan kerajaan sebelum mengkritik dan merendahkan kredibiliti institusi berkenaan.
 
Justeru, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dengan tegas menggesa supaya PH khususnya pimpinan utama mereka supaya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas keceluparan mereka memperkecilkan kredibiliti dan bidangkuasa penjawat awam dan institusi kehakiman. PH melalui pimpinan utama mereka wajib menzahirkan komitmen mereka untuk memastikan institusi awam dan kerajaan bebas daripada sebarang pengaruh dan campurtangan politik selaras dengan janji mereka dalam Manifesto PRU 14 yang lepas. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga menyokong penuh usaha penjawat awam dan Mahkamah yang melaksanakan tugas mereka selaras dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara dan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersolidariti dengan penjawat awam dan mahkamah dalam isu ini.
 
MUHAMMAD RASHIDI ABDUL RAZAK
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 17/7/2019
 
 
- Advertisement -