Pasca Muktamar: PAS Pahang melangkah gagah

- Advertisement -
MUKTAMAR Tahunan PAS Kali Ke-65 adalah ujian besar bagi pimpinan dan ahli PAS Negeri Pahang. Tiga bulan mereka bertungkus-lumus membuat persiapan. 
 
PAS Kawasan Paya Besar, Kuantan, Indera Mahkota dan kawasan-kawasan berdekatan mengerahkan seluruh tenaga yang ada bagi menjayakan muktamar peringkat nasional, julung-julung kali diadakan di negeri terbesar di Pantai Timur ini. 
 
Cabaran sangat besar. Pertama kerana Pahang bukan negeri yang diperintah oleh PAS. Kedua, ia pengalaman pertama bagi orang Pahang. Ketiga, pimpinan PAS di peringkat nasional tidak didominasi dari negeri ini, menyebabkan kemungkinan kurangnya komunikasi langsung antara Negeri dan Pusat.
 
Namun kesungguhan pimpinan dan ahli PAS Pahang begitu mengagumkan. Semua sayap parti dari Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat dan DHPP menggerakkan jentera masing-masing bagi menjayakan muktamar ke 65. 
 
Agensi lain milik PAS terutama Amal, ARC, Ameerah, Nusaibah, Briged Nisa’, Pasti dan sebagainya turut serta bekerjasama membuat persiapan. 
 
Tidak dinafikan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail agak mengurang beban PAS Pahang. Kerajaan Pahang bermurah hati memberikan keizinan PAS menggunakan beberapa premisnya termasuk Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota dan Wisma Belia.
 
Menteri Besar sendiri turut menaja jamuan makan malam untuk perwakilan pada malam pertama muktamar dilangsungkan.
 
Syukur, muktamar berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Bahkan Setiausaha Agung, Dato’ Takiyuddin Hassan sendiri mengumumkan di hadapan Tuan Guru Presiden dan para petugas muktamar pada 6 Julai lalu bahawa pengendalian Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Pahang adalah muktamar PAS yang terbaik sejak beliau terlibat menguruskan penganjuran muktamar.
 
“Bukan saya nak bodek, tapi boleh saya katakan Muktamar di Indera Mahkota ini ada muktamar terbaik. Ini adalah hakikat. Dari segi pengendalian, kelancaran, penjagaan masa dan sebagainya kita dapat uruskan dengan baik. Lebih-lebih lagi tidak banyak negeri yang bersedia menjadi tuan rumah muktamar yang ada pemilihan,” ujar beliau. 
 
Hari ini PAS Pahang boleh berbangga berdiri sama gagah dengan negeri-negeri yang sudah maju dengan perjuangan PAS seperti Kelantan, Trengganu, Kedah dan lainnya.
 
Tanggal 13 Julai, Badan Perhubungan PAS Pahang (BPPP) mengadakan mesyuaratnya bagi kali pertama pasca muktamar bagi membentuk kabinet pengurusan parti sesi 2019-2021.
 
Ustaz Rosli Abd Jabar selaku Pesuruhjaya PAS Pahang yang diamanahkan oleh PAS Pusat bersama saf kepimpinan PAS Pahang melakukan tindakan berani melakukan reformasi dalam jawatankuasa BPPP. Banyak posisi diamanahkan kepada muka baru bagi memacu parti menuju kemenangan dalam PRU15.
 
Dalam Jawatankuasa Harian sahaja, tujuh posisi menyaksikan peralihan tugas. Bagi jawatan Timbalan Pesuruhjaya Zon Tengah, Haji Hasenan Harun menggantikan Hj Yusuf Darus yang keuzuran. Jawatan Haji Hasenan sebelum ini sebagai Pengarah Pilihan Raya diambil alih oleh Haji Hamdan Abdullah.
 
Timbalan Pesuruhjaya Zon Timur dan Barat dikekalkan kepada Haji Andansura Rabu dan Ustaz Yohanis Ahmad.
 
Jawatan Setiausaha Perhubungan turut menyaksikan perubahan dari Roslan Zainal Al-Ahmadi kepada Ketua Penerangan sesi lalu, Hasanuddin Salim. Manakala jawatan Ketua Penerangan pula diamanahkan kepada Adun Pancing, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.
 
Bendahari Perhubungan juga mengalami perubahan apabila diserahkan tugas berkenaan kepada Adun Jengka, Haji Shahril Azman Abd Halim menggantikan Haji Musannif Abdul Rahman. 
 
Sebelum ini kedua-dua Dewan Ulamak dan Dewan Pemuda telah mendapat ketuanya yang baharu dalam muktamar peringkat negeri yang mereka adakan. 
 
Jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang kini beralih tangan dari Ustaz Mokhtar Senik kepada Aduk Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud. Manakala Dewan Pemuda pula menyaksikan peralihan kuasa dari Ustaz Hazmi Dibok kepada Adun Tahan, Ustaz Zakhwan Badarddin. Dewan Muslimat mengekalkan ketuanya Hajah Salamiah Mohd Nor.
 
Mesyuarat turut melantik Adun Luit, Sofian Abdul Jalil bersama Mohd Notfi Ibrahim dan Mutacohirri Ludin sebagai Penolong-penolong Setiausaha Perhubungan.
 
Selain itu enam pimpinan dilantik menganggotai Badan Perhubungan PAS Pahang sebagai ahli jawatankuasa iaitu Ustaz Mohd Hazmi Dibok, Rohaya Razali, Ustaz Mujibur Rahman Ishak (Adun Chenor), Wan Mahadir Wan Mahmud (Cikgu Bulan), Musaniff Ab. Rahman dan  Ustaz Kamal Ashaari. 
 
Mengulas lanjut pembentukan kabinet baru PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar menafikan sebarang bentuk penyingkiran. Sebaliknya semua penjawat yang lepas diberikan tugas dan menjawat jawatan dalam pecahan bidang tugas yang lebih kecil dan pastinya lebih berkesan dari sudut hasilnya.
 
Katanya, “PAS Pahang mempunyai aset tokoh yang ramai, terutama golongan muda. Maka saya kira sampailah masanya untuk PAS Pahang manfaat tenaga dan kepakaran mereka untuk membantu PAS Pahang.”
 
“Saya juga perlu melihat kehadapan, dalam memastikan PAS Pahang terus beraksi dengan kepimpinan yang segar dan bertenaga maka muka-muka baru ini perlu diketengahkan agar generasi kepimpinan PAS Pahang terus subur.”
 
Sesungguhnya Muktamar ke 65 dan pembentukan kabinet baru PAS Pahang benar-benar menyuntik semangat orang Pahang untuk melakukan perubahan.
 
PAS Pahang kini melangkah gagah dan bersedia memacu kemenangan di semua kerusi Dun dan Parlimen bersama rakan-rakan Gagasan Sejahtera dan Umno dalam pilihan raya akan datang. 
 
_________________________________
 
ORGANISASI BADAN PERHUBUNGAN PAS PAHANG SESI 2019-2021
 
Pesuruhjaya: YB Haji Rosli bin Abdul Jabar
Timbalan Pesuruhjaya Zon Timur: YB Haji Andansura bin Rabu
Timbalan Pesuruhjaya Zon Tengah: Tuan Haji Hasenan bin Haron (BARU)
Timbalan Pesuruhjaya – Zon Barat: Ustaz Yohanis bin Ahmad
Setiausaha Perhubungan: Encik Hassanuddin bin Salim (BARU)
Ketua Dewan Ulamak: YB Ustaz Zuridan bin Mohd Daud (BARU)
Ketua Dewan Pemuda: YB Ustaz Mohd Zakhwan bin Ahmad Badarddin (BARU)
Ketua Dewan Muslimat: Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor
Bendahari Perhubungan: YB Ustaz Shahril Azman bin Abd Halim Al-Hafiz (BARU)
Ketua Penerangan: YB Ustaz Mohd Tarmizi bin Yahaya (BARU)
Pengarah Pilihan Raya: Tuan Haji Hamdan bin Abdullah (BARU)
 
Penolong Setiausaha 
1. YB Sofian bin Abdul Jalil
2. Encik Mohd Notfi bin Ibrahim
3. Encik Mutacohirri bin Ludin
 
AJK Tambahan 
1. Ustaz Mohd Hazmi bin Dibok
2. Puan Rohaya binti Razali
3. YB Ustaz Mujibur Rahman bin Ishak
4. Cikgu Wan Mahadir bin Wan Mahmud
5. Encik Musaniff bin Ab. Rahman
6. Ustaz Kamal bin Ashaari
7. Akan dilantik kemudian – HARAKAHDAILY 17/7/2019
20190717 075637YB Haji Andansura Rabu
 
20190717 075854Haji Hasenan Haron
 
20190717 075742YB Ustaz Yohanis Ahmad
 
20190717 075720Haji Hassanuddin Salim
 
20190717 075801YB Ustaz Shahril Azman Abd Halim al-Hafiz
 
20190717 075658YB Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya
 
20190717 075834Haji Hamdan Abdullah
- Advertisement -