PAS-Umno bina kekuatan baharu untuk negara

- Advertisement -
LUMUT: Politik negara termasuk di negeri Perak yang pentadbirannya dicatur DAP telah menjadi pengajaran dan peringatan dari Allah S.W.T bahawa ia berlaku lantaran pertelagahan umat.
 
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, namun hal tersebut mempertemukan dua parti terbesar Melayu Islam secara cukup harmoni setelah menyaksikan hasil keputusan PRU14.
 
Perkara itu dinyatakan beliau ketika berucap pada program Ceramah Perpaduan Ummah anjuran Lajnah Penerangan PAS Lumut di Markas PAS Batu 10 Lekir, di sini kelmarin.
 
Namun kini tegasnya, PAS dan Umno telah bersama ke arah melaksanakan agenda yang akan meletakkan Islam, bangsa dan negara mengatasi kepentingan peribadi parti masing-masing.
 
“Atas prinsip perjuangan ini, PAS hulurkan persahabatan kerana keyakinan bahawa kerjasama ini bukan kerana kepentingan politik parti masing-masing.
 
“PAS meletakkan Islam mengatasi segalanya kerana yakin bahawa hanya Islam yang memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada bangsa lain. Apabila Islam selamat, semua bangsa juga akan selamat.
 
“Kerjasama ini bujan kerana nak kuasa, tetapi meletakkan asas Islam di negara ini agar ditadbir dengan baik, meletakkan Islam memimpin kerana ia mengangkat darjat bangsa,” tegas beliau.
 
Ceramah yang mendapat sambutan memberangsangkan dan luar jangkaan penganjur itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Lumut, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.
 
Hadir sama adalah Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin dan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar. – HARAKAHDAILY 17/7/2019
- Advertisement -