Minoriti-majoriti ganti pembangkang-kerajaan

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mencadangkan kepada agar penggunaan kosa kata ‘pembangkang’ serta ‘kerajaan’ ditukarkan kepada ‘minoriti’ dan ‘majoriti’ bagi mewakili kedua-dua blok di dalam Dewan Rakyat.
 
Menurut beliau, merupakan satu sejarah negara di dalam konteks politik Malaysia apabila hampir kesemua Ahli Parlimen dari blok Pembangkang bersetuju menyokong pindaan undang-undang yang diusulkan pihak kerajaan.
 
Beliau berkata demikian ketika menyokong usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 ke 18 tahun yang dibentangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (PH-Langkawi).
 
“Saya mencadangkan supaya kita tidak menggunakan ‘term’ pembangkang dan kerajaan. Kita guna ‘term’ majoriti dan minoriti, saya fikir itu lebih tepat dalam konteks bahawa kita tidak dilihat hanya membangkang sesuatu perkara. 
 
“Akan tetapi kalau duduk bincang, kita boleh menyokong apa-apa sahaja tindakan kerajaan. Jadi, saya cadang supaya istilah Pembangkang itu ditiadakan dalam Dewan ini dan diganti dengan golongan majoriti dan golongan minoriti,” ujarnya, semalam.
 
Mengulas lanjut, beliau dalam perbahasannya menekankan aspek pendidikan politik yang menjadi tunjang kepada pencapaian peratus keluar mengundi yang menajdi kerisauan hari ini.
 
Katanya, pendaftaran automatik sebenarnya tidak cukup untuk membantu meningkatkan peratusan keluar mengundi di mana faktor utamanya adalah persepsi masyarakat terhadap politik yang dikatakan jijik.
 
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar tarikh PRU ditetap serta diumumkan lebih awal kerana amalan sedia ada boleh menimbulkan ketegangan minda pengundi dan juga pelabur luar, selain bakal menimbulkan spekulasi berpanjangan.
 
Turut menyokong usul sama, Ustaz Ahmad Fadli Shaari (PAS-Pasir Mas) menuntut kerajaan memberikan kebebasan kepada ahli-ahli akademik untuk mendidik masyarakat dalam memilih pemimpin.
 
Katanya, kerajaan harus menyambut baik usaha-usaha ahli-ahli akademik yang membantu masyarakat menilai dan berfikir secara kritis dalam apa jua konteks pembelajaran terutamanya politik.
 
Disamping itu, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mencadangkan kerajaan menyemak semula Akta Pendaftaran Negara agar sistem pendaftaran automatik bakal diperkenalkan selari dengan status pemastautin atau alamat tetap bakal pemilih. – HARAKAHDAILY 17/7/2019
- Advertisement -