Apa motif media – TMB Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bimbang tindakan media tertentu yang menyiarkan isu perceraian Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di muka hadapan akhbar mempunyai agenda tersembunyi.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah turut melahirkan rasa hairan apabila perkara itu  dijadikan laporan muka hadapan beberapa akhbar utama hari ini.

Beliau juga turut mempersoalkan apakah tujuan tindakan itu dilakukan.

“Kita bimbang jika ada agenda tersembunyi di sebalik tindakan itu kerana perkara ini melibatkan seorang sultan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Mabna  Kota Darulnaim di sini hari ini.

Ia sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris memuatkan berita perceraian Sultan Kelantan dengan isterinya warga Rusia.

Menurutnya, sultan diibarat seperti mak dan ayah yang perlu dihormati sebagaimana rakyat menghormati  Perdana Menteri.

“Kita tidak setuju itu cerita lain tetapi penghormatan itu perlu ada,” katanya.

Amar seterusnya memberitahu, Kerajaan Kelantan setakat ini tidak menerima sebarang maklumat rasmi daripada Istana Kelantan berhubung perceraian, Sultan Muhammad V dengan Rihana Oksana Gorbatenko, 27, seperti yang dilaporkan beberapa media hari ini.

Katanya,  kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Isu perkahwinan dan perceraian adalah perkara lumrah dalam kehidupan dan tidak perlu diperbesarkan ataupun dijadikan sebagai tajuk utama akhbar,” ujarnya.

Katanya, apapun berkaitan dengan pihak istana, ia perlu dirujuk pada pihak berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/7/2019

- Advertisement -