Anak muda penentu masa depan negara

- Advertisement -
PERANAN anak muda kini menjadi lebih penting setelah Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga dewan.
 
RUU tersebut diluluskan bagi menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dengan anggaran pertambahan pengundi baharu seramai 7.8 juta sebagai pemilih untuk tempoh 5 tahun mendatang.
 
“Pihak kerajaan akan meningkatkan usaha dalam memberi kesedaran kepada warganegara yang layak mengundi termasuklah mengiktiraf suara anak muda dalam membuat dan menentukan dasar kerajaan,” ucap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Pembentangan semula RUU dibuat setelah menerima usul pembangkang yang  dikemukakan agar pendaftaran secara automatik dan umur kelayakan menjadi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang sama iaitu 18 tahun.
 
Pindaan tersebut dibuat selari dengan had umur pengundi bagi negara-negara ASEAN yang lain iaitu Filipina, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam. Sementara Indonesia menetapkan umur 17 tahun dan Singapura masih mengekalkan had umur 21 tahun.
 
Perkembangan ini dilihat positif dalam menghadapi tahap kemodenan dan teknologi masa kini yang mana sedang dikuasai oleh anak muda khususnya segala informasi telah berada di hujung jari dengan pantas.
 
Walaubagaimana pun terdapat juga kebimbangan yang dibangkitkan beberapa orang Ahli Parlimen dalam sesi perbahasan sepanjang hari ini agar pelaksanaannya akan mengambilkira hal-hal lain yang berkaitan langsung dengan anak muda.
 
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan kurikukum khas di sekolah-sekolah menengah dengan memperkenalkan parti-parti politik dan dasar perjuangannya.
 
Malah kata beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, “politik berasaskan kepada bayaran, politik berasaskan ugutan yang berlarutan hingga kini perlu di hentikan termasuklah mereka yang lompat parti.”
 
Dalam pada itu, impak kepada perubahan mesti turut di panjangkan kepada pemurniaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 serta memastikan keterbukaan yang bersifat profesional dan rasional turut mewarnai kampus pengajian yang melibatkan Mahasiswa dan Ahli Akademik.
 
Para mahasiswa mestilah dilatih sebagai mentor kepada pelajar-pelajar sekolah menengah khususnya sebelum mereka menamatkan pengajian telah memiliki nilai intelektual dan kemampuan berfikir dengan rasional berdasarkan disiplin ilmu yang pelbagai.
 
Mereka juga tidak seharusnya hanya ‘diikat’ kepada satu arah sahaja sebaliknya asas pendidikan politik Islam diterapkan secara menyeluruh agar peranan yang dimainkan anak muda mengambil kira keperluan insan di dunia dan kepentingan akhirat diseimbangkan.
 
Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi ayat 13–14 yang bermaksud:
 
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika Kami menyembah yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”
 
Justeru, sambutlah usaha yang baik untuk negara ini sebagai tanggungjawab bersama semua pihak dalam memacu kemajuan dengan menjadikan Islam Memimpin. Ianya disandarkan kepada sejarah ketamadunan Islam khususnya dalam kepimpinan sebagaimana dibuktikan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.
 
Menurut Profesor. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya: 
 
“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”
 
Maka ahli masyarakat juga mestilah berperanan membimbing anak muda dengan ilmu dan pengalaman kehidupan berbanding hanya sekadar melabelkan anak muda bermasalah sosial tanpa sebarang tindakan pencegahan yang sememangnya mesti di hadapi sebagai cabaran kehidupan masa kini. 
 
Ayuh bangkitlah anak muda, buktikan kematangan yang tinggi melalui idea, kepakaran dan akhlak terpuji serta menjadi kebanggaan Malaysia dan dunia. – HARAKAHDAILY 17/7/2019
- Advertisement -