Wujud silibus pendidikan politik dan demokrasi

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Silibus pendidikan politik dan demokrasi perlu diwujudkan supaya rakyat Malaysia khususnya mereka berumur 18 tahun yang diberi peluang mengundi memahami politik negara.
 
Dato’ Takiyuddin Hassan (PAS – Kota Bharu) berkata, untuk menjadi pengundi perlu memahami peranan dan tanggungjawab serta amanah dipikul sebagai rakyat dalam konteks pilihan raya dan pemilihan pemimpin.
 
“Kerajaan perlu mewujudkan silibus berhubung pendidikan politik dan demokrasi supaya rakyat Malaysia yang diberi peluang umur 18 tahun untuk mejadi pengundi perlu memahami peranan dan tanggungjawab.
 
“Ini amanah yang mereka perlu pikul sebagai rakyat Malaysia dalam konteks pilihan raya dan pemilihan pemimpin dalam negara kita,” katanya ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
 
Dalam masa yang sama, beliau yang juga Setiausaha Agung PAS meminta kerajaan menangani terlebih dahulu peratusan turun mengundi rendah dalam pilihan raya kecil sebelum ini iaitu bawah 50 peratus.
 
“Tiada guna kita mempunyai jumlah pengundi yang ramai tetapi peratusan rakyat turun mengundi masih ditahap yang lama malah semakin berkurang,” ujarnya.
 
Beliau turut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan akan membuat peraturan atau undang-undang mewajibkan rakyat keluar mengundi bermula dari umur 18 tahun atau meletakkan tahap umur tertentu bagi mewajibkan mengundi.
 
Sementara itu, Takiyuddin juga meminta supaya kerajaan menetapkan tarikh pilihan raya lebih awal daripada satu-satu pilihan raya. – HARAKAHDAILY 16/7/2019
- Advertisement -