Kad Sejahtera: T’ganu komited laksana manifesto

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Terengganu komited untuk melaksana Kad Sejahtera seperti yang dijanji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

- Advertisement -

Program Kad Sejahtera merupakan satu program ‘Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan Asas’ yang mensasarkan 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun 2019 sebagai permulaan.
 
Asas pertimbangan utama kerajaan negeri merealisasikan program ini adalah berdasarkan keperluan kebajikan dari aspek kesihatan yang merupakan salah satu tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.

Maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menunjukkan 90 peratus rakyat Terengganu menggunakan perkhidmatan rawatan serta memperolehi ubat-ubatan dari klinik dan hospital milik kerajaan.

JKNT merekodkan jumlah kehadiran pesakit di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negeri seramai 1,121,917 orang pada tahun 2013, 1,246,557 orang pada tahun 2014, 1,326,163 orang pada tahun 2015, 1,451,167 orang  pada tahun 2016, 1,457,682 orang pada tahun 2017 dan 1,461,879 orang  pada tahun 2018.

Program ini bersifat penyelesaian jangka masa pendek supaya dapat memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin. Ia sekali gus dapat memperkasa golongan sasar secara berperingkat seterusnya mampu membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Program ini akan bermula selewatnya pada bulan Ogos 2019 dan para pemegang Kad Sejahtera layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah maksimum sehingga RM500 setahun di klinik swasta terpilih yang dilantik oleh kerajaan.

Para peserta akan menerima kad ini melalui pejabat Dun masing-masing dan perlu dikemukakan sewaktu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan kos maksimum RM70 setiap rawatan.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
16 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 16/7/2019

- Advertisement -