LGE akan diheret ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen?

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pembangkang telah memulakan usul untuk merujuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas dakwaan membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat.
 
Usul tersebut dikemukakan susulan dakwaan Guan Eng berhubung tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada Ogos tahun lalu bahawa kerajaan terdahulu telah merompak sejumlah wang bernilai RM19.4 bilion.
 
Menurut Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, usul dikemukakan berdasar Peraturan Mesyuarat 36(12) itu ekoran laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan tiada kehilangan wang hasil daripada kutipan GST ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.
 
“Di dalam penyata PAC yang dibentangkan hari ini jelas menyatakan bahawa tiada kehilangan wang atau tiada wang yang dirompak seperti yang dituduh Yang Berhormat Bagan, dengan ini beliau telah mengelirukan Dewan ini.
 
“Dengan ini pihak pembangkang ingin mengunakan peraturan 36(12) untuk merujuk Yang Berhormat Bagan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya di dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Tambah beliau, tindakan menuduh kerajaan terdahulu sebagai ‘perompak’ adalah sesuatu yang sangat serius dan tidak boleh dimaafkan.
 
Sebelum itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta pihak pembangkang membuat surat secara bertulis untuk membawa usul tersebut dan dipertimbangkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
 
Ogos tahun lalu, Guan Eng mendakwa bahawa terdapat sejumlah RM19.4 bilion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaanya pada April 2015 sehingga Mei 2018, namun baki sedia ada dalam tabung bayaran balik hanya sekitar RM1.49 billion.
 
Justeru itu, PAC memulakan prosiding siasatan bermula 12 September 2018 dengan memanggil semua pihak berkepentingan dalam industri tersebut termasuk Menteri Kewangan, Mantan Menteri Kewangan, Mantan Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama mantannya, serta Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Akauntan Negara.
 
Hasil daripada siasatan tersebut, PAC mengesahkan tidak berlaku kehilangan wang RM19.4 billion seperti yang didakwa Ahli Parlimen Bagan itu dan merumuskannya berdasarkan penelitian keterangan 10 saksi dan taklimat Ketua Audit Negara serta pandangan Peguam Negara. – HARAKAHDAILY 15/7/2019
- Advertisement -