KKMM diminta kembalikan era gemilang filem negara

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit mengenai usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk membawa kembali kegemilangan institusi seni filem Malaysia disambut baik oleh Menterinya, Gobind Singh Deo.
 
Sabri dalam soalan beliau memetik dialog filem ‘Ibu Mertuaku’ yang memberi gambaran bahawa filem-filem sebegitu berjaya menerapkan nilai berjiwa nasional berdasarkan suasana pada masyarakat zaman tersebut.
 
“Contoh watak Mak Dara dalam ‘Ibu Mertuaku’, lakonan sebagai ibu mertua yang kejam hingga terlafaz dialog, “Aku hairan, mengapakah Allah menciptakan engkau menjadi manusia, kan lebih baik kalau jadi haiwan?”
 
“Lalu Mak Dara berkata, “Astaghfirullah Kasim…,” ajuk Sabri ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Gobind di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
 
Beliau juga meminta Gobind menyatakan langkah atau strategi disusun KKMM untuk mengembalikan kegemilangan negara dalam melahirkan filem yang mampu memberi tauladan kepada anak muda terhadap budaya ketimuran dan berjiwa nasional.
 
Menjawab persoalan tersebut, Gobind bersetuju untuk sama-sama meneliti kandungan program era tersebut demi merealisasikan hasrat melihat semangat kenegaraan, patriotik dan sebagainya. 
 
“Kementerian akan mengambil tindakan dan langkah-langkah yang perlu agar kita memberikan fokus kepada perkara itu dan sekiranya Yang Berhormat mempunyai cadangan dan sebagainya yang ingin disampaikan kepada saya, sila teruskan.
 
“Tulis surat atau jumpa untuk kita bincangkan, kita akan lihat bagaimana kita boleh bersama-sama melangkah ke arah tersebut, terima kasih,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/7/2019
- Advertisement -