Umur belia: Satu kecelaruan tidak perlu

shahir3
- Advertisement -

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius berkenaan kecelaruan dan perbezaan umur belia yang kini diturunkan kepada 15-30 tahun di peringkat persekutuan, tetapi masih di bawah 40 tahun di peringkat kebanyakan negeri. Ini merupakan satu kecelaruan yang tidak perlu di dalam negara kita pada hari ini.

- Advertisement -

Rakyat harus membuka mata bahawa bukan Johor sahaja yang tidak menurunkan umur belia. Negeri lain seperti Selangor (pimpinan kerajaan negeri PH), Kedah (Menteri Besar adalah Timbalan Presiden Bersatu), Sarawak, Pahang dan Perlis telah mengeluarkan kenyataan rasmi melalui Kerajaan Negeri masing-masing yang menyatakan penolakan untuk menurunkan umur belia kepada 30 tahun.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa pihak terlibat agar tidak jadikan Johor sebagai kambing hitam dengan mengaitkan istana dalam hal ini.

Pertama, YB Menteri KBS, Syed Saddiq dilihat tergopoh-gapah untuk menurunkan had umur belia tanpa mengkaji implikasinya terhadap persatuan belia dan perancangan program belia terutamanya sosioekonomi anak muda. Jelas pandangan Menteri dilihat jumud yang hanya melaungkan slogan “Youth Power” tanpa melihat kesan penurunan had umur secara kolektif. Persoalan utama ialah adakah pihak Menteri tidak mendapatkan maklum balas daripada persatuan belia utama di dalam negara serta pihak-pihak kerajaan negeri?

Kedua, penurunan umur belia kepada 30 tahun akan menafikan hak golongan belia yang ingin mendapatkan skim-skim bantuan seperti Skim Perumahan Belia, Tunas Usahawan Belia, dan Insentif Perkahwinan Belia yang kebanyakannya mensyaratkan permohonan had umur belia di bawah 40 dan 35 tahun. Program insentif perumahan di Selangor umpamanya mengikut statistik banyak dimanfaatkan oleh golongan belia berumur lebih 30 tahun. Ini kerana pada lingkungan umur antara 30-35 tahun, kebanyakan mereka layak untuk memohon pinjaman perumahan dan stabil dari sudut ekonomi. Adakah perbincangan seperti ini dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri dan persatuan belia? Pencanggahan umur belia di negeri-negeri menunjukkan perbincangan tidak berlaku atau maklum balas tidak diambil peduli demi melaksanakan slogan “Youth Power”.

Ketiga, pertimbangan harus diberikan kerana rang undang-undang ini kerana ia menafikan hak belia terutama yang baru memulakan perniagaan untuk mendapatkan bantuan. Syabas diucapkan kepada negeri-negeri yang tidak menurut rentak populis “Youth Power”, tetapi mengutamakan nasib anak-anak muda. Belia hari ini masih merintih untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Harapan untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan kepada anak muda, ditambah dengan 200,00 peluang pekerjaan kepada anak muda di Sabah dan Sarawak. Sehingga hari ini, ramai anak muda masih menganggur dan kini ditekan kerana tidak dapat bantuan untuk memulakan perniagaan kerana melebihi umur 30 tahun.

Persoalannya sekarang dengan melihat definisi umur belia 15-30 tahun, adakah adik-adik yang berumur 15 tahun ini yang masih menduduki alam persekolahan bakal menggunakan manfaat insentif untuk membeli rumah, berkahwin dan memulakan perniagaan?

Syed Saddiq selaku Menteri Belia, seharusnya berfikir secara menyeluruh kerana langkah dilaksanakan ini dilihat sebagai rentak populis untuk menutup kelemahan Pemuda Pakatan Harapan dalam melaksanakan agenda memperkasa belia dan anak muda di seluruh negara.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
12 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 12/7/2019

- Advertisement -