Suara rakyat bantah projek PSR bergema di Parlimen

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menyeru masyarakat menyedari kesan jangka masa panjang projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang hanya akan menguntungkan pihak tertentu.
 
Katanya, impak daripada kelangsungan PSR, hak-hak nelayan selaku majoriti penduduk persisir pantai akan tergadai dan hanya akan menguntungkan sesetengah pihak yang tamak.
 
Justeru itu, beliau menyeru masyarakat agar turut serta menolak PSR dan meminta kerajaan membatalkan hasrat meneruskan projek itu yang pastinya mengakibatkan kerugian kepada masa depan nelayan.
 
“Ini kita mesti sedar, hak nelayan dikorbankan supaya satu golongan kecil boleh mengaut keuntungan daripada projek-projek ini, ini harus kita tolak,” ujarnya ketika menyerahkan memorandum bantahan PSR dikelolai gabungan Penang Tolak Tambak, di pintu masuk Parlimen, semalam.
 
Tambah beliau, kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) PSR merupakan satu proses tertutup di mana pakar dilantik oleh pemaju kerajaan sendiri yang sudah pun komited terhadap projek tersebut.
 
Katanya, Pulau Pinang telahpun mempunyai beberapa projek tambakan di Gurney Drive dan Tanjung Tokong berkeluasan 700 ekar, selain mempunyai lambakan bangunan tidak terjual yang berlebihan.
 
“Ini akan mengakibatkan satu krisis ekonomi dalam Malaysia kalau kita menambahkan lagi bangunan-bangunan, sebab itu tidak ada logik, mengapa kerajaan meluluskan projek ini,” ujarnya lagi.
 
Selain itu kemukanya, kesan daripada projek tersebut akan mengakibatkan kerosakan kepada pembiakan hidupan laut kerana PSR memerlukan 189 juta meter padu pasir untuk disedut demi menampung tambakan itu.
 
“Ini akan mengakibatkan kerugian kepada masa depan kepada nelayan, dan kita semua makan ikan, udang, ketam dan harga itu akan meningkat bila kita tidak cukup ikan, kita kena import daripada lain-lain negara,” ujarnya lagi.
 
Mengambil contoh perkara yang berlaku terhadap nelayan Tanjung Adang, penempatan mereka dipindahkan tiga kali akibat daripada projek Forest City di Johor yang melibatkan tambakan seluas 4,000 ekar.
 
Selain CAP, bantahan itu turut disertai Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Sahabat Alam Sekitar (SAM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan aktivis-aktivis bebas.
 
Pelbagai kain rentang dikibarkan dengan bermacam slogan bantahan seperti ‘Jangan Gadai Pintu Rezeki Kami’, ‘Nelayan Tolak Tambak’ dan ‘Jangan Tuang Pasir Dalam Periuk Nasi Kami’. – HARAKAHDAILY 12/7/2019
IMG 20190711 WA0087
 
IMG 20190711 WA0075
 
IMG 20190711 WA0072
 
IMG 20190711 WA0060
 
IMG 20190711 WA0054
 
IMG 20190711 WA0053
- Advertisement -