‘Saya teruskan kerja pesuruhjaya lalu’

- Advertisement -

ALOR SETAR: “Saya akan meneruskan kerja-kerja serta perancangan yang telah dibuat oleh pesuruhjaya yang lalu dan mengharapkan sokongan dan kerjasama dari semua pihak untuk menjayakannya,” ujar Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya.

- Advertisement -

Katanya, antara yang akan diberi penumpuan termasuklah agenda parti iaitu taawun seperti yang digagaskan oleh Presiden PAS akan diperkukuhkan dan merealisasikan tema Muktamar Tahunan PAS ke-65 iaitu Islam Memimpin Perpaduan sebagai mekanisme perpaduan ummah, selain meneruskan kecemerlangan kepimpinan lalu.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan saf kepimpinan sesi lalu yang telah melaksanakan tugasan dengan baik dan cemerlang.

“Bukan kita yang memulakan dan bukan kita jua penyudahnya tetapi kita penyambung mata rantai perjuangan, kepada Allah jua kita pohon pertolongan,” kata beliau.

Sehubungan itu, saf kepimpinan PAS Kedah sesi 2019-2021 akan segera dibentuk menjelang mesyuarat pertama parti itu pada 20 Julai ini untuk meneruskan kelangsungan agenda parti berkenaan.

Antaranya sudah pastilah yang akan diberi penumpuan adalah keutamaan PAS Kedah membela rakyat, menjadi penyemak imbang kepada kerajaan seterusnya peka terhadap apa sahaja perkembangan politik dan pembangunan negeri.

“Kita akan berusaha sedaya mungkin untuk kembali ke Wisma Darul Aman sebagai peneraju pentadbiran Negeri Kedah,” sambung mantan Ketua Penerangan PAS negeri itu lagi.

Apabila ditanya berkenaan pelantikannya sebagai pesuruhjaya untuk sesi ini, Ustaz Ahmad menganggap mandat yang diberikan itu merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan sebaiknya. – HARAKAHDAILY 11/7/2019

- Advertisement -