PEMUDA atau generasi baru merupakan satu konsep entiti yang tidak kurang besar dan selalu dikaitkan dengan nilai dalam perjuangan. Hal ini terbukti apabila muncul pelbagai slogan ideologis yang membawa erti ilmiah seperti “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”.
Perkara ini seterusnya membuktikan bahawa seorang anak muda itu perlu sentiasa kuat dan cekal dalam memberi penilaian masa depan masyarakat. Tetapi beberapa persoalan timbul, apakah akan tiba masanya prinsip anak muda di dunia ini hilang, menjadi hamba kepada manik-manik syaitan seperti dadah, membunuh dan sebagainya?
Jati diri anak muda
Masa muda adalah satu saat yang perlu di dalam suatu fasa kematangan insan dalam membentuk suatu kehidupan. Fasa ini membawa kepada perkembangan dan perubahan-perubahan jati diri secara berkadar terus. Proses dalam fasa ini memerlukan seorang anak muda itu melalui beberapa rintangan dan halangan sama ada dari luaran atau dalaman.
Tidak dinafikan, bukan kecil julat dan bilangan anak muda hari ini yang tidak terselamat. Ada di antara mereka menjadi pembunuh, penagih dadah, terlibat dengan kongsi gelap dan sebagainya. Jadi, apakah pangkal jalan terbaik dalam proses membentuk diri anak muda ini? Jawapannya ialah lingkungan.
Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W di dalam hadisnya yang sahih diriwayatkan oleh Abu Burdah bin Abu Musa dari ayahnya berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
“Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti kau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi sama ada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang hanyir.”
(HR Bukhari No: 1959)
Maka dengan hadis ini, jelas seorang anak muda perlu hidup dan duduk bersama lingkungan yang baik agar dapat membentuk jati diri murni seterusnya bersedia tanpa ragu untuk memulakan perjalanan dakwah.
Lingkungan tersebut perlulah sentiasa dihidupkan dengan keperibadian yang baik dan membentuk satu usrah kekeluargaan agar kekal kukuh membentengi pengaruh luar yang kurang sihat. Jika seorang anak muda itu berjaya mengusai masa mudanya, maka belia ini juga akan mampu mencorak masa depannya dengan baik.
Perubahan budaya sosial masa kini bergerak amat pantas dan mengakibatkan teknologi-teknologi canggih ini disalah guna seterusnya mampu memberi impak negatif kepada persekitaran anak muda. Cabaran baru ini merupakan satu tahap sukar yang perlu dihadapi remaja dengan teliti dan berhati-hati.
Pada 10 bulan pertama tahun 2017, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sahaja sudah menerima 6,275 aduan berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi media baharu di seluruh Malaysia. (Balqis Jazimah Zahari, 2017)
Aduan yang diterima mereka termasuklah kandungan media yang mengandugi bahan hasutan yang merosakkan, lucah, sumbang mahram, ancaman dan sebagainya. Hal ini sangat sukar ditepis jika seorang anak muda itu tidak memenuhkan jiwanya dengan nilai-nilai Islam yang sebenar.
Seorang anak muda itu tidak diwajar dicemari dengan gejala negatif yang berpotensi merosakkan masa depan mereka! Mungkin ayat ini kedengaran kasar, tetapi hakikatnya meskipun telefon bimbit ini kecil dan nipis, ia mampu membunuh jutaan nyawa tanpa kita sedari dari mana ia bermula.
Oleh hal yang demikian, kaum muda ini perlulah dibentuk dan dicorakkan sebaiknya agar mampu menjadi pejuang sejati yang akan tidak akan segan silu membawa panji Islam di persada dunia melalui media digital, dunia di hujung jari.
Pejuang tidak lahir, mereka dibina
Dalam era Malaysia Baharu, umat Islam dijanggalkan dengan pelbagai masalah dan isu penting seperti pelaksanaan demokrasi, politik pluralisme dan tidak ketinggalan juga hak asasi manusia. Sistem demokrasi merupakan satu sistem yang menuntunkan rakyat mendalami erti prinsip adil dan saksama.
Para ahli pemikir Barat seperti Hutington adalah salah seorang dari para Orientalis yang beranggapan bahawa Islam tidak akan mampu membawa demokrasi kerana hukum-hakamnya yang komprehensif dan tidak signifikan pada zaman kini. (Samuel P. Hutington, 1995)
Hal ini sama sekali tidak benar kerana mereka melihat dunia tanpa erti halal dan haram. Hutington bersama rakan orientalisnya, Lewis menghukumkan Islam sepatutnya perlu bersifat Liberal dalam mendominasi keadilan. Agama manakah yang mengajarkan kita untuk menjual agama demi keadilan dunia? Malah adanya agama dan pegangan itu ialah untuk menjadi ikutan yang benar.
Setiap Muslim itu perlulah mengikuti perkara yang benar sesuai dengan firman Allah S.W.T di dalam Al Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”
(at-Taubah: 118)
Maka dari itu, seorang anak muda itu perlu sentiasa berusaha membina jati diri yang benar di samping orang benar agar kebenaran itu sentiasa dilestarikan mengikut apa yang dibenarkan Allah dan tidak sewenang-wenangnya menjual agama demi kepentingan politik dunia.
Islam bukan seperti Matematik
Agama Islam datangnya dalam satu kesempurnaan dan jika menolaknya sebahagiannya, maka tidak sempurna hukumnya. Sebagai anak muda yang bakal mewarisi perjuangan, perlulah sentiasa menjaga kelestarian agama Islam agar hukumnya tidak dipecah-belahkan. Agama Islam tidak boleh setengah diambil dan setengah ditolak kerana Islam bukan agama coretan!
Para Orientalis menganggap Islam tidak menghormati hak asasi manusia seperti hukuman potong tangan, rejam bagi pelaku zina yang sudah berkahwin dan sebatan bagi peminum arak. Ini adalah di antara doktrin yang mengikat mereka untuk sentiasa memimpin negara yang rosak agar mereka dapat memenuhi agenda ‘New World Order’ seterusnya membinasakan Islam.
Oleh itu, anak muda perlulah sentiasa berwaspada dan perkukuhkan ilmu bagi menangkis doktrin-doktrin kotor yang akan membinasakan minda anak muda ini. Hukuman-hukuman Islam tidak kejam kerana ia merupakan ‘Last Trumpt Card’ dalam menyelesaikan pelbagai masalah.
Seorang perogol itu mungkin tidak terkesan dengan hukuman penjara jika disabitkan bersalah kerana pada pengamatannya mungkin penjara reman cuma dua minggu. Kemudian rakan sepolitiknya yang berkuasa akan membebaskannya dengan pengaruh kuasa judisiari seterusnya memberi impak besar kepada kehidupan mangsa rogol.
Ini merupakan satu ketidakadilan dan anak muda perlu memahami perkara ini! Inilah kelemahan sistem manusia kerana hukumannya tidak absolute dan kelihatan fragile. Jika hudud, qisas dan takzir ini dijalankan dengan baik, maka pasti graf kes rogol, cabul, rasuah dan seumpanya pasti menurun dalam jumlah yang besar.
Pemuda mesti yakin, Islam ialah jalan penyelesaian kepada semua masalah yang ada dan mampu membentuk perpaduan yang harmoni melalui perlaksanaan hukum-hakam Islam.
Memetik kata-kata Mr Kong Tuck Wah di dalam ucapannya mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali ke-65, “Tak perlu takut pada hudud, hudud untuk orang yang jahat sahaja, hanya orang jahat anti hudud, orang baik sokong hudud”.
Kekuatan anak muda perlulah diselarikan dengan konsep Islam sebenar berlandaskan Quran, Sunnah, Ijma dan Qias agar kekuatan pejuang yang terbina itu tidak terkeluar dari landasan kebenaran. Selain itu, anak muda wajib perkukuhkan pegangan agama dengan kemas dan rapi agar mampu menepis segala pandangan-pandangan Orientalis yang sentiasa ingin memburukkan Islam di pentas dunia.
Dalam pada itu, anak muda juga perlulah membentuk ikhlas amal Islami dan menghadiri usrah dan takzirah bagi membentuk jiwa Islam yang berkualiti. Seterusnya menjadi acuan khas pembentuk pelapis pejuang yang akan menyambung perjuangan PAS dalam memartabatkan Islam. – HARAKAHDAILY 11/7/2019