Malaysia terkesan perang dagang Amerika-China?

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim meminta penjelasan Menteri Hal Ehwal Ekonomi bagi menyatakan kesan ke atas ekonomi Malaysia ekoran risiko ketidaktentuan persekitaran global.
 
Beliau meminta penjelasan khususnya melibatkan perang ekonomi antara Amerika Syarikat dan China mutakhir ini, semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Rakyat pagi ini.
 
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmi Ali berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar 4.7 peratus pada tahun 2018, dan menyederhana kepada 4.5 peratus dari suku pertama 2019.
 
Walaubagaimanapun katanya, kadar pertumbuhan tersebut masih dalam lingkungan sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2019, iaitu antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus.
 
Sehubungan itu, menurut Awang Hashim, berdasarkan data dari Jabatan Statistik Malaysia, Negara China merupakan rakan dagangan utama Malaysia sebanyak 16.6 peratus berbanding dengan Amerika Syarikat sebanyak 8.6 peratus, manakala Negara Jepun sebanyak 7.2 peratus.
 
Beliau juga mengemukakan, menurut data terkini pada bulan Mei 2019, eksport ke Negara China telah merosot kepada 252 juta dan ‘minus’ kepada 2.2 peratus.
 
Terangnya, secara spesifik berdasarkan bulan ke bulan, eksport barang elektik dan elektronik menurun secara signifikan iaitu sehingga 3.8 bilion, malah, eksport barangan elektrik dan elektronik ke Negara China sahaja telah merosot negatif 10.6 peratus.
 
“Industri ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara khusunya ekosistem semi konduktor yang merentasi industri dan pemangkin kepada trend globalisasi industri 4.0,” ujarnya.
 
Bersasarkan prestasi tersebut, beliau turut mempersoalkan sama ada industri itu akan terus terjejas dan akhirnya akan melembabkan sektor ekonomi negara pada tahun ini.
 
“Jika benar, apakah langkah dan jalan keluar pihak kerajaan bagi menangani dan menyelesaikan masalah terbabit?” soal beliau semasa soalan tambahan, bagi pertanyaan jawab lisan.
 
Bagi menjawab persoalan tersebut, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau bersetuju bahawa kedua negara berkenaan merupakan rakan dagangan utama bagi Malaysia.
 
Namun, kerana tercetusnya perang dagangan di antara kedua negara tersebut tidak semestinya industri yang dinyatakan perlu dihentikan atau ditamatkan pengembangannya kerana kerajaan harus menekankan soal pertumbuhan ekonomi domestik dan kerjasama serantau dipertingkatkan. – HARAKAHDAILY 10/7/2019
- Advertisement -