Gantung jawatan hingga kes siasatan rogol selesai

- Advertisement -
DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak memandang serius dakwaan bahawa seorang Exco Kerajaan Negeri Perak telah merogol pembantu rumah warganegara Indonesia di kediamannya di Meru.
 
Laporan polis telah dibuat oleh mangsa di Balai Polis dan pihak berkuasa telah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Bagaimanapun Pemuda PAS Perak konsisten berpendirian ‘seseorang itu tidak bersalah selagimana tidak dibuktikan ia bersalah.’ 
 
Institusi penguatkuasaan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam dan Mahkamah hendaklah bertindak tegas dalam memastikan tiada campur tangan pihak berkepentingan.
 
Pendirian ini kami nyatakan sesuai dengan prinsip Islam, sekali gus Pemuda PAS Perak berharap siasatan yang berlaku benar-benar adil dan semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berwajib melakukan tugasan.
 
PAS sebagai sebuah Parti Islam yang berprinsip dan berintegriti memanfaatkan ruang demokrasi sebagai wasilah membangun Negara, sentiasa istiqamah dengan prinsip ini. 
 
Bermula ses berpofil tinggi Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kepada Kes Datuk Seri Najib Razak, dan kini kes dakwaan jenayah rogol oleh Exco DAP Perak, PAS tidak pernah meletakkan kebencian melebihi keadilan. 
 
Namun begitu, Pemuda PAS Perak berpendirian, sekali pun masih dalam siasatan, integriti dan moral khususnya sebagai pemimpin negeri hendaklah dijaga dan dipelihara. 
 
Sehubungan itu, Pemuda PAS Perak mengesa agar segala urusan kerja melibatkan Exco DAP tersebut digantung serta-merta sehinggalah kes dakwaan tersebut selesai.
 
“Wa’tasimu”
“Demi Islam”
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
MOHD HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 10/7/2019
- Advertisement -