Bersatulah Melayu demi Islam!

- Advertisement -
PAS adalah satu-satunya parti politik di Malaysia yang konsisten menjadikan Islam sebagai dasarnya dan al-Quran serta as-Sunnah sebagai rujukan perlembagaannya. Seruan untuk seluruh bangsa Melayu di Malaysia berada sama ada di bawah PAS atau Umno kerana kedua-duanya merupakan parti Melayu Islam terbesar di negara ini pernah disarankan oleh seorang pemimpin politik terkenal satu ketika dahulu.
 
PAS dan Umno mempunyai organisasi yang tersusun dan ahli-ahlinya bertebaran di seluruh negara. PAS yang baharu sahaja selesai mengadakan Muktamar Tahunannya yang ke-65 dengan tema “Islam Memimpin Perpaduan” sudah sewajarnya menjadi alternatif terbaik kepada semua parti-parti Melayu untuk berada di bawah satu payung bagi menggemblengkan seluruh kekuatan Islam Melayu untuk kembali memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
 
Perlembagaan PAS bagaimanapun tidak mengehadkan keahliannya kepada orang Melayu sahaja malah membuka pintu kepada semua umat Islam Malaysia untuk menjadi ahlinya. Di samping itu, PAS juga telah melebarkan pengaruhnya kepada masyarakat bukan Islam dengan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sejak 9 tahun lalu yang boleh dianggotai oleh rakyat Malaysia yang bukan Islam.
 
Dalam Muktamar tersebut, PAS juga berjaya membuka sebuah cawangan baru di sebuah perkampungan Orang Asal dalam Parlimen Cameron Highland, Pahang.
 
Memetik ucapan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahatir Mohamad Presiden Bersatu secara serius dalam ucapannya mengajak semua orang Melayu bersatu di bawah satu parti. Amatlah mustahil bagi PAS untuk membubarkan parti ini jika sekiranya pelawaan itu hanyalah sekadar untuk mendapat matlamat dan survival politik orang Melayu semata-mata tanpa mempunyai cita-cita untuk mengangkat Islam ke tempatnya yang sebenar.
 
Umno yang telah ditinggalkan oleh ramai pemimpin lamanya untuk menyertai parti baru iaitu PPBM juga sudah semestinya merasa pelik dan janggal akan pelawaan Tun Mahathir kerana selama ini Umno telah dikecam sebagai parti yang korup. Strategi Umno untuk mengislahkan partinya dan menjalin hubungan kerjasama dengan PAS mudah-mudahan akan memberi nafas baru kepada perjuangan Melayu Islam di Malaysia, begitu maksud yang telah dinyatakan oleh Timbalan Presiden Umno dalam instagramnya yang bertarikh 6 Julai 2019.
 
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”
 
DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 9/7/2019
- Advertisement -