Taawun mampu pendek hayat kerajaan PH

- Advertisement -

ALOR SETAR: Taawun PAS-Umno dianggap sebagai ruang terbaik untuk mempertahan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah yang baharu Ustaz Ahmad Yahya berkata, ruang kerjasama itu membuka ruang persaudaraan Islam serta dakwah yang lebih luas.

Bagaimanapun katanya, kerjasama dua parti Melayu terbesar itu dilihat PH sebagai satu ancaman kepada mereka.

“Kerjasama itu mampu memendekkan jangka hayat PH. Bahkan sekarang pun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru kepada perpaduan,” katanya di sini.

Ahmad semalam diumumkan dilantik Pesuruhjaya PAS Kedah yang baharu menggantikan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

Beliau merupakan anak jati Kedah yang dilahirkan 44 tahun lalu di Jitra, kini menetap di Madrasah At-Taklimiah Kampung Tok Keling, Alor Setar.

Pernah mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir, Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau dan sebelum itu pernah mengikuti pengajian di Maahad Buuth Islamiah, Kaherah.

Ustaz Ahmad mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Anak-Anak Tentera, Tok Jalai dan selepas itu menyambung pengajian ke Madrasah At-Taufiqiah Batu 16 atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya.

Melibatkan diri di dalam politik sejak tahun 1997 selain mula mengikuti perkembangannya sejak di tingkatan tiga lagi.

Ustaz Ahmad pernah diberi kepercayaan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Alor Setar, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kedah, Setiauasaha Muassasah Darul Ulum, Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah.

Sementara itu, jawatan yang masih disandang sebelum beliau dilantik sebagai pesuruhjaya, antaranya Timbalan Ketua Dewan Ulama Negeri Kedah, YDP PAS Kawasan Alor Setar, Ketua Cawangan PAS Tok Keling dan diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa).

Pada pemilihan kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat sempena muktamar tahunan dewan terbabit, baru-baru ini, Ustaz Ahmad antara yang terpilih sebagai ahli jawatankuasanya.

Mantan Ketua Penerangan PAS Kedah ini pernah menjadi Adun Alor Mengkudu pada PRU13 lalu. – HARAKAHDAILY 8/7/2019

- Advertisement -