Mengundi: Kefahaman orang muda masih lemah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang berkata, kerjasama antara PAS dan Umno masih dalam peringkat penelitian.

- Advertisement -

Menurut beliau, beberapa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini telah menunjukkan keberhasilan kerjasama antara PAS dan Umno.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa PAS akan membawa usul persendirian yang sudah dipersetujui oleh semua parti pembangkang di mana umur 18 tahun secara automatik akan mendaftar sebagai pengundi.

“Masalah utama orang kita ialah cuai. Jika disuruh untuk mendaftar, mereka tidak mendaftar.

“Jadi bila cukup umur 18 tahun secara automatik boleh mendaftar supaya tanggungjawab mengundi itu dapat diperkasakan.

“Hal ini kerana kefahaman kewajipan mengundi itu masih lemah kepada orang muda,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tambah beliau, PAS turut mengusulkan agar umur 18 tahun dibolehkan menjadi calon kerana jika mengundi dibolehkan, maka untuk menjadi calon turut dibenarkan.

PAS berusaha untuk mengadakan perbincangan jika kerajaan bersetuju membuat pindaan sebelum diluluskan kerana ianya baru bacaan kali pertama kemudian akan dibahaskan dan bergantung kepada perundingan yang dibuat.

Beliau berkata, kebanyakan negara lain dibenarkan mengundi seawal umur 16 tahun kecuali Malaysia dan Singapura yang belum meminda had umur mengundi.

“Kita kena sedar bahawa orang muda pada zaman sekarang sudah boleh membaca dan bukan buta huruf seperti zaman terdahulu.

“Hal ini bergantung kepada pendidikan yang diberikan kepada anak muda dan ia merupakan tanggungjawab bersama,” tegasnya.

Sementara itu, bagi pengisytiharan harta menurut Islam, ada wajib dan ada masa haram serta sunat bergantung kepada keadaan.

“Jika kita tahu seseorang itu terlibat dengan rasuah dan menyebabkan penyelewengan, perbuatan tersebut wajib mengisytiharkan harta mereka.

“Sesetengah orang, kita tahu mereka tidak mempunyai apa-apa, itu tidak diwajibkan malah dilonggarkan.

“Secara umumnya, teori isytihar harta ini teori komunis dan sosialis, mungkin dibayangi oleh DAP yang mempengaruhi kerajaan hari ini.

“Sosialis ini kononnya ingin mengehadkan kekayaan tetapi ternyata negara yang bertukar menjadi liberal menyebabkan pemimpin sosialis itu paling kaya sekali,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 5/7/2019

- Advertisement -