Mangsa pencemaran hadapi trauma dan kerugian

- Advertisement -
PASIR  GUDANG: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menemui rungutan kekecewaan yang besar oleh para penduduk setempat atas terkesannya mereka terhadap bencana pencemaran udara di sini.
 
Ketua dan Naib Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz dan Ustaz Azlan Alias bersama pimpinan PAS Kawasan Pasir Gudang telah melawat beberapa lokasi, di sini semalam.
 
Antara dikunjungi adalah Klinik Kesihatan dan Balai Bomba Pasir Gudang juga mangsa pencemaran pertama dan kali kedua ini antaranya Irfan Wafiy Idham Fazir, 12 tahun dan beberapa lagi.
 
Menurut Nawfal, semua keluarga mangsa terkilan dengan cara kerajaan dalam mengurus bencana oleh pihak kerajaan setakat ini, sedangkan mereka menanggung kesan yang agak buruk.
 
“Antaranya melibatkan kos perubatan dan rawatan yang agak membebankan, walhal kebanyakan keluarga ini berpendapatan kecil. Malah pakaian sekolah dan harian mereka terpaksa dibuang.
 
“Bukan mudah untuk digantikan, semua ini kos. Hingga ada pelajar terpaksa ke sekolah berselipar dan buku-buku dibawa dalam beg plastik. Sedangkan penyebab punca belum dikenakan tindakan,” kesalinya.
 
Ketika menemui adik Irfan Wafiy, beliau dimaklumkan pelajar itu seorang yang sangat aktif, tetapi kesan pencemaran toksid Sungai Kim Kim menyebabkannya mengalami penyakit Myokymia.
 
Malangnya, pelajar itu hanya diberi ubat dan rawatan sementara, bahkan tiada jaminan daripada pihak hospital terhadap keadaan Irfan sehingga turut diberikan ubat sawan.
 
Menurut Nawfal, rata-rata pelajar juga dilaporkan mengalami trauma dan simptom kemurungan, termasuk histeria serta termimpi-mimpi atau mengigau yang teruk semasa tidur. – HARAKAHDAILY 5/7/2019
IMG 20190705 WA0010
- Advertisement -