Tiada paksaan atlet wanita patuh syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendirian tiada paksaan terhadap mana-mana atlet wanita negara untuk berpakaian patuh syariah dalam permainan sukan, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan pendirian tersebut setelah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof mengajukan soalan tambahan ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah dalam soalannya mengajukan sama ada kerajaan akan memperkenalkan dasar patuh syariah kepada semua atlet wanita berdasarkan pemerhatian beliau bahawa prestasi atlet-atlet tidak terjejas sekiranya dasar tersebut diperkenalkan.

“Saya ingin tahu, pihak kementerian, apakah dasar patuh syariah akan diperkenakan kepada semua atlet wanita, sebab kalau kita lihat prestasi atlet-atlet tidak terjejas dengan pakaian menutup aurat.

“Jadi sekiranya pihak kementeian dapat melaksanakan dasar ini, ia dalah sesuatu yang sangat terbaik untuk meningkatkan lagi kualiti sukan terutama di kalangan atlet Malaysia,” ujarnya.

Menjawab persoalan itu, Syed Saddiq berkata bahawa kerajaan berpendirian untuk menerima secara terbuka sekiranya ada pihak yang ingin menasihati, namun kerajaan tidak akan memaksa atlet-atlet memakai pakaian patuh syariah.

“Untuk menjawab soalan Yang Berhormat khususnya dari segi pakaian patuh syariah, pendirian rasmi kerajaan kalau ada mana-mana pihak ingin menasihati, itu tiada masalah.

“Tapi untuk memaksa atlet-atlet kita untuk memakai pakaian mengikut syariah itu kita terletak di tangan mereka, proses untuk menasihati kita terbuka kepada semua,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2019

- Advertisement -