Sedia pimpin kesepakatan anak muda perjuang isu

- Advertisement -
PERTEMUAN saya bersama YB Menteri Belia petang semalam memberi ruang kepada saya menyatakan pendirian Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berkenaan usul umur kelayakan mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
 
DPPM secara dasar bersetuju dengan usul dengan syarat ia disertakan juga usul pendaftaran secara automatik serta usul supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun bagi memaksimakan partisipasi anak muda dalam proses demokrasi dan pembinaan negara.
 
Sehubungan dengan itu, DPPM mendokong penuh usaha ahli parlimen PAS bersama barisan pembangkang membawa usul pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pendaftaran secara automatik warganegara Malaysia cukup umur 18 tahun dan usul pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun.
 
Dalam konteks yang lebih besar, saya telah menyatakan kepada YB Menteri komitmen DPPM dalam memperkukuh kesepakatan anak muda agar suara anak muda diangkat lebih tinggi dan isu-isu berkaitan anak muda dapat diselesaikan secara tuntas. Untuk itu DPPM akan menggerakkan usaha-usaha berikut:
 
1.    Penyatuan organisasi, badan-badan atau persatuan-persatuan anak muda tanpa mengira bangsa dan agama di atas satu platform bagi memperkasa suara anak muda dalam membawa isu anak muda.
 
2.    Mengadakan pertemuan dan perbincangan berkala bersama Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha menyelesaikan isu anak muda.
 
3.    Melebarkan dan memperkukuh kerjasama politik bersama rakan daripada Gagasan Sejahtera, pembangkang dan Armada bagi meningkat kesedaran politik anak muda.
 
Saya melihat masa hadapan yang lebih baik untuk anak muda Malaysia sekiranya semua pihak dapat membudayakan politik yang matang dan sejahtera sepertimana aspirasi yang dibaca oleh PAS melalui Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS). 
 
Ayuh bersama memartabatkan suara anak muda.
 
“Demi Islam”
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/7/2019
- Advertisement -