Kerajaan PH diingat usah sekat suara ahli akademik

- Advertisement -
PEMUDA PAS Selangor hari ini mengkritik tulisan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin yang ‘mengarahkan’ Pihak UKM dan Kementerian Pendidikan untuk pantau kualiti penghujahan dan kecenderungan ideologi kakitangan akademik mereka di media sosial. 
 
Ia berikutan tuduhan beliau ke atas seorang pensyarah UKM Abdul Muein Abadi, yang kononnya ‘menabur fitnah’ dengan mengkritik Kerajaan PH apabila mendedahkan kepincangan urus tadbir PH menerusi artikelnya yang bertajuk “400 Hari Pakatan Jual Lebih RM 20 Bilion Aset Negara”.
 
Pemuda PAS Selangor merasa kesal dengan sikap dan tindakan Datuk A Kadir Jasin selaku seorang yang mempunyai status dalam penjawatan di kerajaan kerana tidak mencerminkan sikap profesional beliau dan tidak matang apabila begitu mudah melemparkan spekulasi ke atas Abdul Muein Abadi kononnya artikel tersebut adalah fitnah. 
 
Tulisan dangkal Datuk A Kadir Jasin jelas menunjukkan Kerajaan PH sekali lagi memungkiri janji mereka dalam Manifesto PRU-14 dahulu kononnya ‘akan memastikan kualiti pendidikan serta kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dan berpersatuan terjamin’.
 
Malah dalam isu Statut Rom sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengugut kedudukan empat ahli akademik kerana terlibat dengan rumusan Eksekutif isu Statut Rom kepada Majlis Raja-raja.
 
Sikap yang ditunjukkan oleh Kerajaan PH ini adalah jelas memungkiri janji dalam manifesto yang mereka kemukakan sewaktu berkempen semasa PRU 14 yang lalu. Malah, tindakan sekatan kebebasan bersuara kalangan ahli akademik adalah tindakan yang ‘mengkuburkan’ suasana demokrasi di negara ini. 
 
Di zaman teknologi dan maklumat mudah diakses, pihak kerajaan sepatutnya berani menjawab dengan fakta terhadap segala persoalan yang dibangkitkan oleh para ahli akademik agar rakyat boleh menilai kredibiliti Kerajaan PH pada hari ini jika lebih baik dari kerajaan sebelum ini seperti yang didakwa. 
 
Pemuda PAS Selangor menyatakan pendirian menyokong pembelaan ke atas pensyarah UKM, Abdul Muein Abadi dalam isu ini dan menegaskan bahawa segala bentuk tindakan yang menyekat kebebasan bersuara ahli akademik adalah tindakan yang zalim malah ‘mengkuburkan’ suasana demokrasi yang diamalkan di negara Malaysia.
 
“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”
 
USTAZ DR ZUHAILI SAIMAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Selangor
1 ZulKaedah 1440H / 4 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 4/7/2019
- Advertisement -