Semarak penyatuan ummah landa Hang Tuah Jaya

- Advertisement -
HANG  TUAH  JAYA: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Hang Tuah Jaya mencipta sejarah apabila julung kalinya bersama mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya Perpaduan Ummah.
 
Majlis anjuran PAS Cawangan Kandang dan Umno Cawangan Pengkalan Renggam itu telah dilangsungkan penuh meriah di Markas PAS Kandang, di sini malam tadi.
 
Selain dihadiri ahli dan pimpinan dari kedua-dua parti, majlis yang membawa mesej penyatuan itu turut dihadiri masyarakat setempat, sekali gus memberi isyarat terbuka sokongan kepada agenda tersebut.
 
Yang DiPertua PAS Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip dalam ucapannya menyifatkan kesepakatan dari kerjasama PAS dan Umno telah membina semula kekuatan ummah ini dan mengecewakan PH.
 
“Saya berharap, perpaduan ummah antara PAS dan Umno ini terus diperhebatkan agar kita melihat satu perubahan politik dan urus tadbir negara yang lebih baik dengan Islam.
 
“Kita melihat, terlalu banyak kerosakan telah dilakukan Kerajaan PH memerintah negara yang kini sokongan rakyat kepada mereka semakin terhakis,” ujar beliau.
 
Majlis yang turut dihadiri Ketua Umno Hang Tuah Jaya, Ridhwan Mohd Ali itu telah menyajikan hadirin dengan pelbagai juadah menu hari raya, selain turut mendengar ucapan disampaikan pimpinan. – HARAKAHDAILY 3/7/2019
IMG 20190703 WA0033
 
IMG 20190703 WA0031
- Advertisement -