Pencemaran udara perlu pencegahan komprehensif

- Advertisement -
PAS Johor merasa kecewa dengan sikap berdolak dalik Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam menyelesaikan bencana pencemaran udara di Pasir Gudang kali kedua yang bermula sejak 20 Jun 2019. 
 
Bencana kedua telah berlaku lebih 10 hari tanpa penjelasan yang memuaskan oleh pihak kementerian dan sangat meresahkan rakyat tempatan.
 
Perkara ini menjadi tambah mengejutkan apabila viral tuduhan dalam media sosial mengaitkan kelewatan tindakan pencegahan ini dengan kehadiran tiga kilang kimia kepunyaan suami beliau di Pasir Gudang. 
 
Walaubagaimanapun PAS Johor merasakan adalah tidak wajar untuk mengaitkan kilang milik suaminya dengan pencemaran yang berlaku tanpa sebarang bukti konkrit daripada Jabatan Alam Sekitar(JAS).
 
Kenyataan menteri pada 28 Jun lalu bahawa udara tercemar ini mengandungi pelbagai gas toksik termasuk 3 gas yang bersifat karsinogen iaitu gas metil merkaptan, akrilonitril dan akrolein sangat membimbangkan penduduk sekitar Pasir Gudang. 
 
Di samping kesan sesak nafas dan masalah paru-paru, gas toksik yang dinyatakan oleh Menteri tersebut boleh memberikan kesan jangka panjang sebagai penyebab kanser jika terdedah pada kuantiti yang tinggi. Sekiranya ini berlaku, maka sememangnya ia merupakan satu tragedi yang besar kepada negara. 
 
Justeru PAS Johor merasakan bahawa Kementerian Kesihatan perlu mengambil langkah proaktif dengan mengkaji insidens penyakit kanser di kalangan penduduk Pasir Gudang. Ia boleh didapati daripada ‘National Cancer Registry’ Institut Kanser Negara.
 
PAS Johor menyeru pihak kerajaan melaksanakan tindakan pencegahan segera secara komprehensif bagi mengatasi pencemaran kedua yang berlaku sekarang.
 
Menurut rekod MESTECC terdapat 250 kilang berasaskan kimia di Pasir Gudang. Bilangan ini merupakan angka yang sangat tinggi tanpa sebarang pengawalan secara sistematik dibuat bagi mengesan pencemaran udara dengan segera. Langkah drastik perlu dilaksanakan bagi menghadkan kewujudan kilang berasaskan kimia di Pasir Gudang. 
 
Penggunaan pengesan kualiti udara dan air perlu disediakan di kawasan perindustrian dan sistem saliran serta dipantau secara berterusan oleh pihak JAS.
 
PAS Johor juga menyokong penuh titah cadangan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar supaya kerajaan negeri menutup atau memindahkan mana-mana kilang yang memberi impak negatif kepada alam sekitar. 
 
Pihak kerajaan tidak sepatutnya berkompromi dengan kilang yang menjadi penyebab kepada pencemaran udara semata-mata untuk kepentingan ekonomi tetapi mengabaikan kesihatan penduduk di Pasir Gudang.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
DR MOHD MAZRI YAHYA
Timbalan Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
3 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 3/7/2019
- Advertisement -