Mesra Aidil Fitri PAS-Umno Keningau pupuk perpaduan

- Advertisement -

KENINGAU: Majlis Jalinan Mesra Aidil Fitri PAS dan Umno Parlimen Keningau yang julung-julung kali diadakan telah berlangsung meriah di pekarangan Pejabat PAS Kawasan Keningau, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Aminuddin Aling, dua parti ini ibarat adik dan abang di mana berbeza pandangan adalah perkara biasa, sedangkan ta’awun siyasi telah menyatukan PAS dan Umno.

Manakala Timbalan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Yakub Khan pula menyatakan kesediaan kerjasama yang menjadi asas penyatuan kedua parti ini ke arah membela isu-isu rakyat di Sabah khususnya dan ummah amnya.

Pada majlis kendalian bersama PAS Keningau dan PAS Kawasan Pensiangan serta Umno Zon 4 itu telah meraikan kehadiran ramai penduduk dengan pelbagai juadah antaranya gulai kawah, soto, bubur durian dan banyak lagi.

Turut memeriahkan majlis adalah persembahan hafazan dan nasyid daripada para pelajar Sekolah Rendah Islam Tahfiz al-Ilmi, sementara anggota Jabatan Amal dan Briged Muslimat setia melayani setiap tetamu yang hadir.

Hadir sama adalah Yang DiPertua PAS Keningau, Abd Hisham Othman dan Yang DiPertua PAS Pensiangan, Ridzuan Giging serta Yang DiPertua PAS Kawasan Kota Belud, Ustaz Awang Laiman Ikin.

Manakala dari Umno turut dihadiri Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Raime Unggie dam Ketua Umno Bahagian Keningau, Janis Abdullah serta Ketua Umno Bahagian Pensingan, Busiau Ampirak. – HARAKAHDAILY 3/7/2019

IMG 20190703 WA0025

 

IMG 20190703 WA0022

IMG 20190703 WA0012

- Advertisement -