Usrah dan raya ‘potluck’ Guru PASTI Tambun meriah

- Advertisement -
TAMBUN: Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Majlis Guru PASTI Kawasan Tambun telah diadakan di PASTI Ar-Ridzuan, Halaman Meru Permai, di sini kelmarin.
 
Program tersebut dimulakan dengan bacaan al-Ma’thurat diikuti dengan usrah bulanan yang disampaikan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Tambun, Ustaz Abdul Abidi Mohamad Maznan.
 
Beliau mengingatkan para guru supaya sentiasa membaca Al-Qur’an dan al-Ma’thurat kerana keduanya adalah seperti ‘makan dan minum’ dalam usrah serta majlis ilmu.
 
Di samping itu, para guru turut diingatkan agar sentiasa gigih dalam mencari ilmu di mana sahaja kerana menuntut ilmu adalah satu kefarduan bagi setiap Muslim.
 
“Kita boleh tahan duduk dalam mall 2 atau 3 jam, tapi tak boleh tahan duduk dalam majlis ilmu 1 jam,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi PASTI Tambun, Ustaz Shahrul Abdul Manap.
 
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada guru PASTI Tambun yang telah dipilih sebagai salah seorang guru cemerlang pada Sambutan Hari Guru PASTI Perak minggu lepas.
 
Harapan dizahirkannya agar semua guru PASTI kekal istiqamah menghadiri program-program yang dianjurkan oleh PAS dan PASTI di semua peringkat.
 
Pelbagai juadah berkonsepkan potluck turut disediakan oleh guru-guru yang hadir memeriahkan program tersebut dan mengerat ukhuwah sesama mereka. – HARAKAHDAILY 2/6/2019
- Advertisement -