Apa kesumat PKR terhadap muafakat PAS-Umno?

- Advertisement -
PKR seolah cemburu dengan kerjasama PAS-Umno. Kononnya mencabar kedua parti ini untuk bertukar kerusi Adun dan Exco di negeri-negeri yang ditadbir bagi membuktikan keikhlasan.
 
Alhamdulillah. Akhirnya PAS dan Umno kembali berjuang atas matlamat sama. Dulu dua parti ini pernah bersama menuntut kemerdekaan dan menentang Malayan Union. Hari ini dua parti terbesar negara ini kembali bersama demi agama, bangsa dan negara.
 
Jangan lupa PAS-Umno masih memiliki kekuatan. PAS punya Kelantan dan Terengganu. Umno punya Perlis dan Pahang. 
 
Jangan tunggu sehingga PRU15 yang entah bila. Apa kata wujudkan majlis permuafakatan empat negeri dan bekerjasama membangunkan negeri-negeri ini.
 
Pahang merupakan negeri terbesar di Malaysia. Kaya dengan hasil bumi yang banyak. Terengganu kaya dengan hasil Petroleum. Kelantan dan Perlis berada di sempadan Thailand dan berkongsi perairan dengan Kemboja dan Vietnam. Boleh menjadi hub perdagangan yang baik dengan negara jiran. 
 
Kelantan, Pahang dan Terengganu boleh perkasakan program ECER. Perlis boleh menjadi negeri satelit di Utara kepada Koridor Timur.
 
Usah bimbang tentang framework pentadbiran. PAS sudah memiliki Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Umno (BN) telah memperkenalkan Transformasi Nasional (TN50). Bagi solusi ekonomi secara khusus, beberapa cadangan dari Dokumen Hijau boleh diaplikasikan.
 
Untuk jangka masa sederhana, kerjasama PAS-Umno sebenarnya boleh menggugat kedudukan PH di Perak dan Kedah. Jika jatuh dua negeri ini ke tangan pembangkang, PAS-Umno sebenarnya telah berjaya menjadi pembangkang terkuat dalam sejarah Malaysia. Dari sudut geografi, gabungan enam negeri ini mendominasi lebih separuh peta Semenanjung Malaysia serta menguasai keseluruhan zon Utara Semenanjung!
 
Sudah tentu banyak lagi projek-projek bersama boleh dirancang demi kepentingan rakyat. Majlis Koridor Malaysia Utara boleh dibentuk. Kerjasama strategik dengan Thailand dari sudut ekonomi boleh ditingkatkan. Jika diwujudkan pelabuhan antarabangsa di perairan Kelantan, boleh membuka potensi ekonomi baharu dengan China serta Vietnam. Pelabuhan antarabangsa di perairan Kedah pula boleh membuka potensi untuk perdagangan dengan India dan negara subcontinent. 
 
Jangan hanya lihat kepada kelemahan kita yang gagal kuasai negara. Lihat kepada peluang dan kekuatan yang sebenarnya masih kita ada. Gembleng sepenuhnya apa yang kita miliki. Manfaatkan sepenuhnya peluang berada dalam sistem Federalisme yang memperuntukkan bidang kuasa tersendiri bagi setiap negeri-negeri.
 
Namun perlu diingat, jangan sampai ia membawa kepada ketegangan antara wilayah pula. Persaingan politik dan ekonomi haruslah berlaku secara sihat dan menguntungkan rakyat. Segala langkah yang diambil haruslah atas semangat patriotik, bukan kerana kesumat politik atau gilakan kuasa.
 
ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 2/7/2019
- Advertisement -