Padah apabila kerajaan tidak mengikut syariat Islam

- Advertisement -

Pengenalan

- Advertisement -

Ancaman besar ke atas ummah yang paling bahaya ialah apabila berlakunya perubahan kekuasaan Islam kepada kekuasaan yang menurut ideologi Barat dan hawa nafsu. Dengan adanya kekuasaan Islam, masyarakat Islam mampu untuk menjaga akidah umatnya, menentang dan menyekat golongan murtad.

Apabila kerajaan tidak lagi mengikut syariat Islam, maka, akan dapat dilihat perkara sebaliknya akan berlaku bahkan tidak akan ada lagi ruangan untuk Islam melainkan terlalu sedikit. Maka dapat disaksikan ketika itu tersebarnya (bertambahnya) golongan fasik melindungi golongan yang murtad dan memberikan golongan murtad laluan dan pintu-pintu untuk terus menyebarkan dakyah mereka.

Padah Apabila Kerajaan Tidak Mengikut Syariat Islam

Jika berlakunya situasi begini maka kita akan dapat lihat:

1. Para pemerintah akan memberi kesetiaan kepada musuh-musuh Islam, menentang ulama’-ulama’ dan orang yang memegang panji Islam),

2. Memperlekehkan akidah, mempermudah-mudahkan syariat Islam, tidak menyempurnakan konsep amar makruf dan nahi mungkar.

3. Menghina kesucian Islam dan syiar-syiar Islam, memperlekehkan para sahabat, Khulafa Ar-Rasyidin dan para ulama’.

4. Hanya akan mengiktiraf hukum-hakam yang terdapat dalam syariat dalam konteks yang terlalu sempit, seperti solat di masjid, nikah, talak dan lain-lain.

Bahkan, kita juga dapat melihat mereka akan mewar-warkan pentingnya ilmu dan pengetahuan yang semata-mata memberikan kepentingan keduniaan, dalam masa yang sama mengenepikan ilmu-ilmu dan cabang-cabangnya yang berkaitan dengan ilmu agama sehingga lenyapnya pemikiran yang berasaskan Islam dan jati diri muslim.

Tidak cukup dengan semua ini, mereka akan menyekat pula pintu-pintu dakwah. Mereka akan menghalang dan menutup pintu-pintu yang menjadi medan penyebaran dakwah.

Pendakwah-pendakwah akan ditahan, ceramah-ceramah dikecilkan skopnya dan jalan-jalan ke arah pendekatan dakwah akan disempitkan sekaligus ditutup rapat.

Laungan Slogan Islam Yang Mengelirukan Ummah

Mereka mahu mentajdid (memperbaharui) sistem yang tersedia ada dalam Islam namun tersasar dari displin ilmu Islam yang sebenar. Mereka mahu menafsir semula tafsir-tafsir ulama’ muktabar yang terdahulu dengan penafsiran menuruti pandangan dan hawa nafsu mereka.

Mereka mahu memimpin dunia dengan mengikut kaedah mereka bukannya mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam.

Lebih menghairankan lagi, mereka masih mendakwa bahawa mereka bergerak atas landasan Islam atas pelbagai slogan walaupun dalam masa yang sama mereka melakukan yang hal-hal yang dikatakan tadi.

Mereka berselindung di sebalik nama dan slogan Islam. Mereka ditarbiyah oleh aliran-aliran yang berpelembagaan Yahudi untuk menghancurkan Islam.

Mereka inilah golongan yang menghancurkan Islam dari dalam. Mereka inilah yang disifatkan sebagai musuh dalam selimut.

Waspada Ulama Su’ Kerajaan

Daripada kalangan mereka juga ada yang digelar sebagai ulama su’ kerajaan. Ulama su’ kerajaan ini selalunya akan berusaha untuk mengaburi mata masyarakat awam akan agama Islam itu sendiri dengan menggalakkan mereka untuk bersatu dalam tema-tema, iklan-iklan dan prinsip-prinsip agama yang palsu.

Mereka meletakkan nama Islam yang baru. Mereka mengubah rukun-rukun dengan katanya untuk lebih maju mengikut aliran semasa.

Adakah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sejak 1400 tahun yang dahulu tidak cukup sempurna mengikut aliran semasa? Apakah mereka fikir rukun-rukun di dalam Islam itu direka-reka mengikut hawa nafsu Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sehinggakan mereka tergamak untuk mengubahnya semula? Adakah mereka tidak tahu bahawa agama Islam itu diturunkan oleh Allah?

Mereka inilah iaitu ulama su’ kerajaan yang mengampu para pemerintah semata-mata untuk mengisi perut dan mendapat habuan dunia. Keadaan mereka sama sahaja dengan ahli kitab pada zaman dahulu yang dicela oleh Allah kerana sanggup “menjual” al-Quran dengan harga yang murah (membelakangi hukum Allah) semata-mata ingin mendapatkan kesenangan yang bersifat fana’ (sementara).

Mereka juga bertanggungjawab meletakkan al-Quran di belakang punggung (membelakangi hukum Allah) kerana mendahulukan urusan dunia!

Umat Islam Wajib Menentang Kerajaan Yang Tidak Mengikut Syariat Islam

Apabila kerajaan tidak lagi menggunakan bidang kuasanya mengikut syariat Islam dalam negara yang diperintah, maka timbul satu persoalan yang bermain di kotak fikiran kita. Siapakah yang bakal bangun untuk berhadapan dengan mereka? Siapakah yang akan memberikan fatwa terhadap penyelewengan kekuasaan mereka? Siapakah yang berani bersuara lantang dalam menegur kesalahan dan jenayah yang telah mereka lakukan?

Dan siapakah yang akan menghukum mereka dan melaksanakan hukuman ke atas kesalahan mereka?

Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan ialah pandangan umum daripada kalangan umat Islam itu sendiri dan juga hati sanubari yang masih terpahat dengan nilai-nilai Islam yang dipimpin oleh ulama’-ulama’ yang bukan ulama’ su’ kerajaan, ahli pendakwah dan pemikir-pemikir Islam yang masih tinggal. Walau apa jua rancangan jahat yang dirancang dan dilakukan oleh pihak yang bencikan Islam dengan menutup pintu-pintu dakwah dan menghalang laluan orang untuk menuju ke arah kebenaran.

Tidak mudah untuk mereka memadamkan api obor-obor Islam. Bukan mudah bagi mereka untuk menghilangkan nilai-nilai Islam yang tertanam di dalam sanubari umat Islam yang masih kental akan akidahnya.

Bukan mudah bagi mereka untuk memesongkan akidah umat Islam melainkan mereka yang lemah imannya. Ini kerana, Allah telah berjanji di dalam al-Quran bahawa Allah akan menjaga agama Islam dan akan ada satu kaum yang dibangkitkan oleh Allah untuk meneruskan perjuangan Islam.

Daripada Thauban radiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ من أُمَّتِي ظَاهِرِينَ على الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ من خَذَلَهُمْ حتى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Akan senantiasa ada sekumpulan umatku yang berjuang menzahirkan kebenaran. Tidak akan memudharatkan mereka oleh orang yang mengkeji mereka, sehinggalah tiba hari kiamat, mereka tetap dalam keadaan demikian.”- (Riwayat Muslim)

Serangan Merosakkan Fikrah Ummah

Pada beberapa dekad yang lalu, perancangan dalam bentuk penjajahan telah pun berlaku ke atas negara-negara Islam. Penjajahan yang dilakukan oleh Perancis ke atas negara-negara Arab dan penjajahan British ke atas negara-negara Islam di Asia menjadi bukti sejarah walau sehebat mana pun rancangan jahat mereka, mereka masih tidak mampu mencabut roh Islam dari akar umbi di dalam jiwa orang-orang Islam.

Namun, fikrah umat Islam telah tercemar di bawah jajahan mereka sehinggalah pada hari ini rancangan jahat mereka tetap diteruskan walaupun bukan mereka yang meneruskan tetapi kesinambungan ini diteruskan oleh anak didikan mereka. Inilah faktor yang menyebabkan kerajaan tidak lagi mengikut syariat Islam hasil daripada didikan berkonsepkan Yahudi dan Nasrani.

Banyak lagi rancangan-rancangan jahat mereka, bukan sekadar penjajahan dengan melaungkan semangat kemodenan tapi idealogi-idealogi hasil ciptaan para pemikir Barat telah diserap masuk ke dalam negara-negara Islam misalnya sekularisme, kapitalisme, liberalisme, sosialismes dan banyak lagi yang tujuannya adalah sama iaitu untuk memisahkan di antara agama dan dunia, untuk menjauhkan umat Islam daripada prinsip-prinsip Islam dalam kehidupan. Mereka menyerang dari segenap penjuru.

Penutup

Inilah padahnya kerajaan yang tidak mengikut syariat Islam di negara yang diperintah. Hasilnya, tiada kuasa besar Islam yang mampu dilaksanakan dengan sempurna. Tiada lagi media-media massa yang bertindak sebagai medium utama dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Tidak cukup dengan itu, kuasa kehakiman Islam juga dihadkan sekecil-kecilnya bagi memberi laluan ke atas kekuasaan Barat yang menjadi sumber rujukan utama.

Seterusnya, umat Islam akan terhimpit, tiada lagi kuasa yang mampu membela nasib umat Islam. Lihat saja pada Palestin yang sudah sekian lama dihujani peluru. Dahulu, Turki di zaman Mustafa Kamal at-Tartuk seolah-olah menjadi muzium yang menyimpan khazanah dan ketamadunan kegemilangan Islam suatu ketika dahulu, di mana nilai-nilai murni Islam semakin hari semakin dirobek dengan agenda kemajuan berkiblatkan “Rumah Putih” Washington.

Inilah yang dikhuatiri oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang dikatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Thauban radiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi SAW bersabda :

إنما أَخَافُ على أُمَّتِي الْأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ

Maksudnya : “Sesungguhnya perkara yang aku takuti ke atas umat aku ialah para pemimpin yang sesat. – (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Ulama Memimpin Jalan Penyelesaian”

Disediakan oleh :
Dr Muhammad Zuhaili Saiman
Ketua Lajnah Kajian dan Penyelidikan,
Dewan Ulama PAS Negeri Selangor

Tarikh : 27 Syawal 1440H / 1 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 1/7/2019

Olahan dari petikan kitab Jarimah ar-Riddah Wa ‘Uqubatuha (جريمة الردة وعقوبتها) karangan Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi.

- Advertisement -