Mujahid terlalu naif fahami derita Muslim Uyghur?

- Advertisement -
BANGI: Tindakan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof melawat kem tahanan etnik Uyghur di Xinjiang, China dilihat sebagai satu malapetaka besar kepada umat Islam. 
 
Menurut Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, pendirian Mujahid dalam isu berkenaan penindasan umat Islam Uyghur sangat mengecewakan seluruh umat Islam di dunia. 
 
Lebih mengecewakan katanya, adalah apabila Mujahid dalam satu hantaran Facebook beliau berkongsi lawatannya ke kem yang didakwa ia adalah ‘pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uyghur’. 
 
Umum mengetahui, China telah menindas etnik minoriti Muslim Uyghur dan menahan mereka di kem-kem tahanan yang berselindung disebalik ‘pusat latihan dan vokasional’ ataupun pendidikan semula di Wilayah Barat China itu. 
 
“Jadi ini satu malapetaka kepada kita umat Islam, ada seorang Menteri yang sangat naif tentang apa yang berlaku kepada umat Islam, dia telah membuat satu kenyataan dan pendirian dan tindakan beliau yang sangat mengecewakan seluruh umat Islam di Malaysia, bahkan seluruh dunia.
 
“Dia kata penindasan umat Islam Uyghur ni, di Xinjiang, China adalah satu cerita palsu. Dia kata orang Xinjiang, China tu berbohong, padahal seluruh dunia, termasuk Human Right, International Agency membuat laporan berlaku penindasan yang sangat dahsyat kepada umat Islam d Xinjiang China.
 
“Tiba-tiba bila dia pergi melawat hanya beberapa jam dia telah membuat kenyataan menyatakan penindasan itu tidak berlaku,” ujarnya di Majlis Sambutan dan Jamuan Raya, Perpaduan Ummah Peringkat Parlimen Bangi di Bandar Baru Bangi di sini, semalam. 
 
Mujahid sebelum ini berkongsi di Facebook mengenai lawatannya ke sebuah kem yang menurut Beijing adalah ‘pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uyghur’.
 
Penduduk Islam di Wilayah Xinjiang berdepan pelbagai sekatan terhadap kebebasan budaya dan agama yang dikenakan oleh pemerintah parti Komunis China. – HARAKAHDAILY 1/7/2019
- Advertisement -