Ameerah-Puteri Ampang rangka agenda wanita muda

- Advertisement -
AMPANG: Muslimat PAS Kawasan Ampang telah menganjurkan Majlis Riang Ria Raya yang telah dilangsungkan dengan meriah di Markas PAS Taman Dagang Jaya, di sini petang kelmarin.
 
Program ini bertujuan menggerakkan momentum Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagaimana seruan Presiden PAS supaya menyemai damai di dalam berpolitik.
 
Sehubungan itu, disamping bertemu ahli-ahli Muslimat di semua peringkat, majlis ini juga mengukuhkan hubungan bersama Wanita dan Puteri Umno Bahagian Ampang yang turut hadir.
 
Menurut Ketua Ameerah Ampang, Maslinda Busairi, program diadakan ini menjadi platform membina kekuatan wanita blok parti bukan kerajaan, selain mengerat silaturahim sesama mereka.
 
“Ameerah dan Puteri Umno khususnya telah bersedia serta menyusun strategi membina kebersamaan dengan wanita muda terutamanya, selain cakna isu berkait kemaslahatan ummah,” maklumnya.
 
Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Muslimat PAS Ampang, Ustazah Rosnah Hassan yang turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dan ibu tunggal.
 
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Ampang, Haslinda Hois Akbar melahirkan hasrat supaya perpaduan kedua pihak terus wujud, selain menimba pengalaman PAS dalam dimensi politiknya.
 
Program santai tersebut juga diserikan dengan sesi dan aktiviti cabutan bertuah dan fotografi bersama para tetamu dan antara entiti kedua pihak itu. – HARAKAHDAILY 1/7/2019
- Advertisement -