Selesai isu kritikal dengan lebih bertanggungjawab

- Advertisement -

BANGI: Kerajaan hari ini mesti lebih bertanggungjawab dalam memimpin negara dan menghentikan sikap menuding jari kepada pemerintahan dahulu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, kerajaan mesti sedia menghadapi kemelut pentadbiran dengan menyelesaikannya secara matang, rasional dan bijaksana.

Beliau menyeru agar Islam dijadikan garis panduan penyelesaian terhadap banyak isu sedang berlaku kini yang antaranya berulang kejadian pencemaran di Pasir Gudang, Johor.

Maklumnya, PAS telah menggerakkan bantuan menerusi tenaga lebih 100 anggota Jabatan Amal yang bersiap siaga untuk operasi dalam ruang lingkup dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Antara dituntut perhatian besar kerajaan ketika ini juga kemukanya, adalah menegakkan prinsip ‘rule of law’ melibatkan keadilan terhadap kes anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim.

Gesanya, kerajaan turut perlu memastikan tidak wujudnya penyiasatan terpilih, sebaliknya diadakan secara menyeluruh termasuk ke atas pemimpin politik terutama berkaitan rasuah.

Kamaruzaman mendesak agar kes terowong dasar laut di Pulau Pinang, kes pembelian banglo dan beberapa kes melibatkan ahli politik kerajaan mahupun pembangkang disiasat secara adil.

“Semua pihak mesti menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial yang dipersetujui bagi menjamin kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa,” ujarnya.

Beliau hadir ke majlis Sambutan dan Jamuan Raya Perpaduan Ummah anjuran PAS serta beberapa entiti politik dan NGO di Seksyen 3 Tambahan, di sini pagi tadi. – HARAKAHDAILY 30/6/2019

- Advertisement -