‘PRU15 Kerajaan PH wajib dijatuhkan’ – Kamaruzaman

- Advertisement -
BANGI: Menjatuhkan kerajaan sedia ada yang merobek Perlembagaan Persekutuan merupakan tugas pembangkang yang wajar dan logik, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad. 
 
Menurut beliau, seruan Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh kepada para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Ke-65 adalah relevan supaya mereka bekerja sebaik mungkin untuk menjatuhkan PH. 
 
“Konsep dia mudah sahaja, apabila kita (adalah) lawan, (iaitu) gabungan pembangkang hari ini, memang kita bekerja siang dan malam menjatuhkan kerajaan yang ada.
 
“Itu memang tugas kami, jadi seruan itu dibuat kepada para perwakilan supaya bekerja sebaik mungkin untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, memang sesuailah.
 
“Takkanlah kami nak buat seruan supaya kekal PH, dan saya rasa seruan ini juga sesuai untuk rakyat Malaysia, di atas segala masalah yang ditimbulkan oleh Kerajaan PH,” ujarnya lagi. 
 
Katanya, Kerajaan PH hari ini cuba merobek kedaulatan Islam, hak istimewa Bumiputera, kedudukan Raja-Raja di dalam Perlembagaan Persekutuan, serta bahasa kebangsaan yang dipinggirkan hari ini.
 
“Sistem pendidikan sekolah swasta Cina, yang terkeluar daripada sistem pendidikan diberikan pembelaan, sedangkan banyak sekolah-sekolah yang masih jauh ketinggalan dari sudut prasarana dan sebagainya. 
 
“Jadi kerajaan yang ada ini dilihat dengan jelas, tidak mendokong aspirasi nasional dan saya ingin menambah Kerajaan PH wajib dijatuhkan pada pilihan raya akan datang,” ujarnya pada Majlis Sambutan dan Jamuan Raya, Perpaduan Ummah Peringkat Parlimen Bangi di Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
 
Sementara itu, beliau turut menyatakan kesudian PAS untuk dipanggil berdialog bersama pihak kerajaan atas seruan yang dibuat PAS kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya jentera-jentera PAS. 
 
“Kami bersedia 25 jam sehari, 8 hari seminggu, panggil kami dan kami bersedia untuk berdialog pada bila bila masa dan oleh sesiapa sahaja. Tetapkan tempat, tetapkan siapa panel di sebelah sana, insya-Allah kami akan hadir,” tegas beliau.
 
Dalam ucapan penggulungan di Muktamar tersebut, Ustaz Nik Zawawi berkata, wajib hukumnya bagi parti itu menjatuhkan Kerajaan PH di mana susulan itu beberapa pemimpin PH membidas Presiden PAN, Mohamad Sabu. – HARAKAHDAILY 30/6/2019
- Advertisement -