Bendung ‘toksid’ porno dari terus cemari rakyat

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Siasatan dan tindakan perundangan perlu disegerakan dalam isu penyebaran video dan pengakuan seks didakwa melibatkan individu lantikan politik bersama seorang menteri kabinet.
 
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, rakyat dan negara perlu diselamatkan dari dilihat seolah-olah tanpa maruah lantaran sebaran video itu semakin meluas.
 
Terbaru media melaporkan, video berkenaan berdurasi 9 minit disiarkan di laman pornografi antarabangsa yang seakan dibiarkan tanpa usaha agresif untuk menyekat atau membendungnya dari terus tular.
 
“Kerana itu, gesaan Presiden PAS supaya Penerbit video itu disiasat perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak berkuasa supaya akar masalah dapat dimatikan. Ini bukan perkara kelucuan atau untuk disensasikan.
 
“Ia melibatkan keaiban, perkara yang terhina dan kotor. Boleh merosakkan jati diri generasi dan rakyat. Paling penting, ianya jenayah di sisi makhluk, negara dan agama,” ujar beliau yang khuatir wujud siri lanjutan video itu.
 
Ir Khairil menegaskan, motif semua pihak terbabit juga mesti dilihat dari kaca mata rakyat iaitu pada aspek integriti dan kepercayaan terhadap ahli politik selaku pemimpin negara.
 
Jelasnya, hal tersebut bukan sahaja kaedah kuno memusnahkan reputasi, tetapi paling jahat menghancurkan institusi kepimpinan yang sebenarnya penuh tanggungjawab dan beban.
 
“Ini ‘toksid’ dalam masyarakat yang jika dibiarkan akan membawa pencemaran dan penyakit lain di masa depan. Akan sukarlah kita merubatnya bila ia menjalar dalam sistem negara.
 
“Kerana itu juga PAS memberi satu imuniti yang ampuh. Perundangan Syariah adalah solusinya. Sekiranya tidak, ia akan berulang, sedangkan rakyat dambakan politik yang bersih,” ujarnya menasihati. – HARAKAHDAILY 1/7/2019
- Advertisement -